RENCANA
Kenapa kita masih suka berdrama?
“Apa benda ni?”, jerit suara kecil dalam ruangan fikiran.
Kalau disebabkan kurang bersetuju dengan komen pengguna lain atas sebab perbezaan falsafah ataupun pemahaman, tak mengapa. Masing-masing ada pandangan, masing-masing ada hak bersuara.
Tapi. Selalunya bukan ini yang menjadi punca.
Iklan
Yang membuatkan perasaan kurang senang ini datang kebiasaannya tutur bahasa dan cara penyampaian pengguna yang tiada budi bahasa!
Sudahlah tiada budi bahasa, langsung tidak bertapis pula tu. Malah sanggup menjatuhkan air muka satu sama lain, ataupun isu/orang yang menjadi perbincangan.
Iyalah memang minggu ini hangat dengan topik Datuk Ong Kim Swee dilantik menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya, tapi perlu kah beri komen yang boleh menjatuhkan maruah beliau? Tidak pernah terfikir kah tentang perasaan tuan punya badan, isteri ataupun anak-anak?
Ya benar, siapa saya untuk meminta penyokong Selangor bertenang apabila Azrif Nasrulhaq baru-baru ini menyatakan hasrat mahu ke Johor Darul Ta’zim.
Marah memang lah marah. Rasa tidak puas hati – oh sudah pasti!
Tapi kenapa sampai ada komen yang ugut macam-macam?
Tak kesian kah dengan ibu bapa beliau? Hati ibu mana yang tidak terguris apabila melihat ugutan ganas dipaparkan di ruangan komen Facebook?
Yang paling kasihan, apabila topik di laman sosial adalah berkenaan atlit muda yang baru bertapak di dunia sukan mahu membina nama, ada sahaja komen berunsurkan “Ala hebat masa muda ni je. Dah besar nanti melingkup lah dia".
Menyedihkan!
Memang atlit kita 'public figure', memang tidak boleh dinafikan lagi sudah menjadi lumrah kehidupan mereka diteropong bak kuman di lautan.
Tapi apa hak kita jadikan mereka bahan bicara tanpa sebarang rasa hormat di ruang komen yang begitu luas terbuka?
Mereka manusia – macam kita juga. Punya perasaan, ada ibu bapa, ada anak.
Budi bahasa budaya kita, tapi kenapa ramai masih tidak aplikasikan gaya hidup ini di jaringan alam maya?
Must-Watch Video