RENCANA
Kegagalan van Gaal dan legasi baru Mourinho
Kejayaan memenangi Piala FA Inggeris buat kali ke-12 dalam sejarah gagal membantu Louis van Gaal untuk kekal semusim lagi sebagai pengurus Manchester United.
Segalanya akibat kegagalan beliau memastikan United mendapat slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim 2016/2017.
Selain itu, percaturan taktikal yang dianggap lapuk serta tidak memahami corak permainan pemain-pemain juga dikatakan menjadi punca.
Iklan
Secara peribadi, penulis sentiasa mengikuti rapat perkembangan skuad The Red Devils.
Selepas persaraan Sir Alex Ferguson, nyata sukar buat sesiapa yang mengganti kekosongan beliau bagi memastikan tradisi kejuaraan dan corak permainan menarik dapat diteruskan.
David Moyes sudah merasai sendiri pengalaman ini pada musim 2013/2014 dan tidak mampu bertahan apabila United gagal ke Liga Juara-Juara Eropah.
Kini van Gaal pula hadapi situasi yang sama dan penulis sedikit simpati dengan nasib beliau.
Meskipun sasaran utama tidak dikecapi, sumbangan van Gaal tetap dihargai khususnya perkembangan pemain-pemain muda di United.
Marcus Rashford, Cameron Borthwick-Jackson, Timothy Fosu Mensah, Jesse Lingard & Tyler Blackett antara yang diberi peluang oleh pengendali berusia 64 tahun itu.
Malah Anthony Martial turut mendapat manfaat di bawah bimbingan van Gaal meskipun situasi itu tidak berlaku kepada Memphis Depay.
Adakah bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho mampu mengembalikan kemuncak prestasi United bermula musim baharu nanti?
Selepas berbulan-bulan spekulasi mengaitkan dirinya dan United, Mourinho akhirnya diumum secara rasmi sebagai pengganti van Gaal dengan pengendali kelahiran Portugal itu jadi harapan buat peminat United agar kesinambungan trofi kejuaraan dapat diteruskan.
Kehadiran Mourinho di United menambah kerancakan pertembungan pengurus-pengurus besar selain Antonio Conte yang sertai Chelsea di samping kehadiran Pep Guardiola di Manchester City, begitu juga dengan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp serta figura "veteran" Arsenal, Arsene Wenger.
Must-Watch Video