Skip to main content

Rencana

Ke mana hala tuju Cavani?

cavani.jpg
Teka-teki mengenai masa depan Edinson Cavani akhirnya terjawab selepas pengarah sukan PSG, Leonardo, mengesahkan penggempur Uruguay itu telah menghantar permintaan untuk berpindah keluar dari Paris.

Sejak kehadiran Icardi menerusi pinjaman daripada Inter Milan pada musim panas lalu, Cavani dilihat bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan kendalian Thomas Tuchel itu.

Jumlah 17 gol dalam 22 perlawanan sejak menyarung jersi PSG cukup untuk mengesahkan status Icardi selaku pilihan utama di barisan depan, lebih-lebih lagi selepas mencipta rangkaian 'Fantastic Four' bersama Kylian Mbappe, Neymar dan Angel di Maria. Situasi itu membuatkan Cavani perlu bertindak pantas, mencari destinasi baru atau mungkin kedudukannya tergugat dalam skuad kebangsaan Uruguay menjelang Copa America, Jun nanti.

Namun, hala tujunya jika meninggalkan Paris belum diketahui walaupun spekulasi hangat mengaitkan penyerang 32 tahun itu dengan Atletico Madrid sambil kelab La Liga itu didakwa telah melakukan tawaran harga.

"Kami menerima tawaran daripada Atletico tetapi ia tampak tidak sepadan dengan nilai sebenar pemain kami. Namun, saya pasti Cavani akan kekal di sini bulan depan," kata Leonardo seperti dilaporkan Matt Jones dalam Bleacher Report.

Pasukan lain yang turut dikaitkan dengan penyerang yang memiliki baki kontrak enam bulan itu adalah dua kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea dan Manchester United.

Kecederaan belakang yang menimpa Marcus Rashford serta kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap Tammy Abraham menguatkan andaian The Blues dan United pasti akan bekerja keras untuk mendapatkan khidmat Cavani.

Jika usia Cavani menjadi persoalan akan kemampuannya untuk mengetuai barisan depan mana-mana kelab besar, mungkin status selaku penjaring gol ketiga terbanyak di Eropah, seperti yang dilaporkan dalam Twitter Opta Joe, dengan 248 jaringan sejak Mac 2007 di belakang Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo menjadi bukti ketajamannya di depan gawang lawan.

Advertisement

Must Watch Video