Skip to main content

Rencana

Jose Mourinho di sebalik tabir

mourinho-cropped_i4c4eu8lvnyp16331yid6yibs.jpg
Sememangnya bukan mudah menjadi seorang pengurus di peringkat tertinggi seperti saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ia bukan hanya memerlukan kecekapan mengatur taktikal, tetapi seorang pengurus EPL juga perlu bijak menguruskan pemain di atas padang serta tahu menggunakan psikologi demi kebaikan pasukan.

Bekas penjaga gol Chelsea dan Middlesbrough, Mark Schwarzer menyifatkan Jose Mourinho mempunyai ciri-ciri tersebut.

“Jika lihat kepada kelakuan Mourinho ketika perlawanan, kita mungkin terfikir apakah ia lakonan buat media atau, mungkin dia sedang mengalihkan tekanan daripada pemainnya ketika perlawanan?

“Jawapannya adalah ya, dia mungkin berusaha menghilangkan tekanan pemain di atas padang.

“Tetapi dia juga sentiasa bersikap telus dengan pemain dan akan secara terbuka menyuarakan apa yang dimahukannya daripada pemain dalam perlawanan,” kata Schwarzer dalam episod terbaru Man on The Street (MOTS) yang akan disiarkan pada 7 Mei ini.

MOTS adalah rancangan terbitan Astro Supersports yang memberi peluang buat peminat bertemu dengan pemain kegemaran mereka dan berbincang mengenai pelbagai topik.

Menurut bekas penjaga gol antarabangsa Australia ini, Mourinho juga tidak menghiraukan status pemain bintang dalam pasukannya apabila dia memberikan kata dua ketika rehat separuh masa dalam perlawanan.

“Ketika rehat babak pertama, Mourinho akan memberikan analisa lengkap aksi setiap pemain utama dan apa yang perlu mereka lakukan lagi.

“Pemain seperti Frank Lampard dan John Terry juga menerima teguran terbuka Mourinho dalam bilik persalinan meskipun mereka adalah tonggak harapannya,” kata Schwarzer lagi yang berasa pendekatan Mourinho berjaya membuat pemain sentiasa menggandakan usaha buat pasukan.
 
Dalam pada itu Schwarzer turut berasa penjaga gol Chelsea kini, Kepa Arrizabalaga adalah benteng akhir lebih konsisten berbanding rakan senegaranya di Manchester United, David De Gea.

“Kita perlu ingat bahawa De Gea memerlukan hampir dua tahun untuk menyesuaikan diri di EPL ketika dia mula tiba.

“Di awal penampilannya, dia banyak menjadi punca gol yang dibolosi United dan kerana itu saya berasa Kepa sebenarnya lebih konsisten,” kata Schwarzer.

Tambah Schwarzer, bermain sebagai penjaga gol untuk pasukan yang sedang mendominasi atau mencabar kejuaraan liga tidak semudah yang disangka.

“Jika bersama pasukan tangga atasan liga, anda perlu terbabit juga dalam perlawanan meskipun bukan secara fizikal.

“Memang kadang-kala anda hanya menyelamatkan dua atau tiga percubaan bahaya dalam perlawanan namun, anda perlu kekal fokus sepanjang perlawanan dan berkomunikasi dengan rakan di pertahanan.

“Ia berbeza pula jika bermain dengan pasukan tangga pertengahan atau bawahan liga, kerana sudah pasti anda akan lebih terbabit secara lansung dalam perlawanan,” kata Schwarzer.

Advertisement

Must Watch Video