Skip to main content

Rencana

Jiwa kacau (1): Marcelo bukan lagi pilhan

marcelo.jpg
Selama tiga tahun Zinedine Zidane di kerusi pengurus Real Madrid, pertahanan sayap, Marcelo, adalah antara nama pertama ditulisnya dalam kesebelasan utama, namun tidak lagi.

Benarlah, apabila seorang pemain sudah terlalu lama di sebuah kelab – hingga dianggap sebahagian daripada perabotnya – sukar untuk mengingati bila dia tidak pernah ada.

Harus amat sukar untuk mengucapkan selamat tinggal, apatah lagi selepas lebih 300 penampilan dan 20 trofi utama.

Begitupun, ia semakin dirasakan kini bahawa tempoh Marcelo di Santiago Bernabeu semakin mendekati penghujungnya.

Dia bukan lagi setangkas pertahanan sayap menyerang di sebelah kiri hingga sering disalahertikan sebagai jentera serangan daripada tugas bertahan.

Pemain antarabangsa Brazil itu yang menyertai Real daripada Fluminense lebih 12 tahun lalu, akhir-akhir ini semakin dirasakan sebagai liabiliti buat kelab.

Harus kejam untuk menyalahkan kemerosotan Los Blancos musim ini kepadanya semata-mata, namun sebarang kemenangan mereka tidak juga berkait rapat dengan sumbangannya.

Dalam pada itu, tidak banyak kemenangan yang diraih Real dengan kehadiran pemain rambut mengerbang berusia 30 tahun itu dalam kesebelasan utama.

Daripada sembilan perlawanan LaLiga yang dia bermula, Real hanya menang sekali dan tewas enam kali, termasuk di lamaan sendiri kepada Levante, Real Sociedad dan yang terbaru, Girona, 1-2 Ahad lalu.

Sebagai perbandingan, setiap satu daripada lapan perlawanan LaLiga yang menyaksikan Sergio Reguilón, 22 tahun, diberi kepercayaan di posisi bek kiri, Real telah memenangi semuanya.

Marcelo banyak dipertanggungjawabkan dalam kekalahan kepada Girona, dengan lawan yang sekadar menduduki tangga ke-15 tu dilihat berkemungkinan menjaringkan gol setiap kali menggerakkan serangan dari bahagian sayap kanan – seolah-olah ia ‘lubuk’ dalam formasi Real.

Lebih memburukkan keadaan, kekalahan terbaru itu mengakibatkan Real kini berjarak sembilan mata dengan pendahulu dan musuh tradisi, Barcelona – cukup untuk menyimpulkan pemburuan kejuaraan liga buat Real sudah lama berakhir.

Di sebalik pengurus, Santiago Solari, terus mempertahankan Marcelo, tapi tidak sukar mengagak kepercayaannya akan lebih kepada Reguilon untuk baki musim ini.

Dengan peluang Real terhadap trofi cuma tinggal dalam saingan Copa del Rey and Liga Juara-Juara, Marcelo bukan lagi pemain sandaran yang dapat memberi apa-apa jaminan.

Tidak pun perlu diingatkan apa layanan Real kepada Iker Casillas dan Raul pada masa lalu, Marcelo harus sedar pintu keluar semakin ternganga. 
 

Advertisement

Must Watch Video