Skip to main content

Rencana

Jerman mula hilang arah dalam saingan antarabangsa

germany-netherlands_4452598.jpg
Jerman merupakan pasukan yang paling medominasi saingan antarabangsa dalam sejarah bola sepak. Menjuarai empat Piala Dunia dan tiga gelaran Euro, Die Mannschaft merupakan pasukan yang paling berjaya sepanjang zaman.
 
Mereka telah menampilkan beberapa nama yang diangkat sebagai legenda termasuk Michael Ballack, Oliver Kahn, Franz Beckenbauer, Gerd Muller dan beberapa lagi.
 
Bundesliga juga merupakan salah sebuah liga terbaik dunia, dengan Bayern Munich dilihat sebagai salah sebuah kelab paling ternama di dunia.
 
Jerman memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil, membelasah tuan rumah dengan keputusan 7-1 dalam separuh akhir dan merupakan antara pasukan pilihan di Russia, tetapi tersingkir di peringkat kumpulan.
 
Mengharungi saat sukar di Russia, termasuk kehilangan khidmat Mesut Ozil yang mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa, segalanya bertambah rumit buat gergasi Eropah itu.
 
Selepas tamat Piala Dunia, Jerman kembali beraksi dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA tetapi ia berkesudahan dengan hambar apabila seri tanpa jaringan dengan Perancis, diikuti kekalahan 3-0 kepada Belanda awal pagi semalam menyaksikan mereka gagal melakar sebarang jaringan dalam tiga perlawanan berturut-turut buat kali pertama.
 
Kali terakhir mereka menyumbat jaringan menerusi Toni Kroos ketika membantu pasukan meraih kemenangan 2-1 ke atas Sweden di peringkat kumpulan di Russia.
 
Sejak itu, Jerman tewas 2-0 kepada Korea Selatan, seri 0-0 dengan Perancis sebelum diaibkan Belanda. Bagaimanapun, mereka masih lagi meraih kemenangan 2-1 ke atas Peru dalam aksi persahabatan.
 
Dengan barisan pemain yang berkualiti, segalanya tidak mengikut perancangan yang ditetapkan Jerman dan mereka sedang melalui saat yang sukar.
 
Jerman tidak memiliki reputasi menyingkirkan serta bertukar jurulatih. Untuk rekod, hanya 10 pengendali yang terpilih memimpin skuad kebangsaan dalam tempoh 100 tahun ini.
 
Pengurus sedia ada, Joachim Low, merupakan penolong kepada bekas pengendali, Jurgen Klinsmann, pada 2006 sebelum mengambil alih kerusi panas tersebut selepas tamat Piala Dunia pada tahun itu.
 
Sejak itu, Low telah memperoleh pujian yang meluas di atas sistem pengurusannya bersama Jerman dan diangkat sebagai jurulatih terbaik dunia pada 2014 selepas Jerman memenangi Piala Dunia.
 
Berdepan Belanda, Low mencipta sejarah selaku jurulatih yang paling banyak mengendalikan perlawanan dalam sejarah dengan 168 perlawanan.
 
Dalam era bola sepak yang serba moden, Low berhak untuk diberikan pujian dengan cara beliau mengendalikan tugas yang mencabar.
 
Bagaimanapun, dengan teknologi sertai perkembangan dalam aspek teknikal bermakna bola sepak berkembang dengan kadar yang pantas.
 
Low merupakan antara perintis kepada taktikal moden dan memberikan peluang kepada pemain-pemain muda tetapi dengan harapan yang tinggi diletakkan kepada pasukan, segala perancangannya tidak membuahkan hasil ketika di Russia.
 
Keputusan untuk tidak menyenaraikan Leroy Sane dalam skuad Piala Dunia menerima kritikan sementara keputusan memilih Manuel Neuer berbanding Marc-Andre Ter Stegen sebagai penjaga gol utama selepas tidak tampil beraksi secara kompetitif selama sembilan bulan.
 
Low turut mengutamakan skuad yang memenangi Piala Dunia 2014, sebagai contoh memilih Jerome Boateng sebagai pertahanan utama selepas gagal menampilkan aksi cemerlang bersama Bayern Munich pada musim lalu.
 
Jerman telah meletakkan keyakinan kepada Low tetapi perubahan amat diperlukan jika mereka mahu kekal bersaing dengan pasukan-pasukan lain.
 
Selepas mendominasi kancah bola sepak di  pentas antarabangsa dan kelab sekitar 1970-an  dan 1980-an, Jerman mengambil langkah tidak lagi mengutamakan membentuk bakat-bakat baru dan memberikan laluan kepada barisan pemain berpengalaman hingga tersingkir di peringkat kumpulan Euro 2000 selaku juara bertahan.
 
Selepas insiden tersebut, Persatuan Bolasepak Jerman menjelajah ke seluruh dunia bagi mencungkil bakat-bakat muda.
 
Inisiatif tersebut diambil kesemua kelab dalam saingan bola sepak Jerman untuk mengutamakan perkembangan bakat-bakat baru untuk diketengahkan ke dalam skuad utama.
 
Hasilnya, hampir kesemua kelab Bundesliga memiliki barisan pemain-pemain muda dan skuad kebangsaan Jerman tidak ketandusan bakat baru.
 
Mario Gotze muncul wira Jerman di Brazil apabila meledak satu-satunya gol dalam aksi final berdepan Argentina. Gotze pada ketika itu berusia 22 tahun merupakan pemain muda dalam kalangan skuad utama yang dibarisi oleh Manuel Neuer, Thomas Muller, Jerome Boateng, Toni Kroos dan Matts Hummels -- antara pemain-pemain Jerman yang hadir menerusi program pembangunan bola sepak Jerman.
 
Pada tahun 2007 hingga 2011, Bundesliga merupakan salah sebuah liga terbaik dunia apabila terdapat empat kelab yang berbeza muncul juara.
 
Bagaimanapun, perkara itu tidak lagi berlaku dengan Bayern Munich mendominasi saingan dengan memenangi enam gelaran berturut-turut, jurang yang jauh dengan pencabar terdekat dan saingan liga sering berakhir pada bulan Mac.
 
Dominasi ini secara tidak langsung melunturkan kualiti skuad kebangsaan, kurang pemain yang berusaha untuk memberikan saingan bagi mendapatkan tempat dalam skuad Jerman, perkara ini turut berlaku kepada dominasi Juventus dalam Serie A hingga mengakibatkan Itali gagal layak ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.
 

Advertisement

Must Watch Video