RENCANA
Jangan tidur
Apa lagi yang boleh dibicarakan setelah aksi persahabatan Myanmar-Malaysia berkesudahan seri tanpa jaringan.
Sehari sebelum perlawanan, pemain dan staf kejurulatihan tampak begitu yakin keputusan positif mampu dibawa pulang sebagai persediaan untuk aksi play off kelayakan Piala Asia bertemu Timor Leste selepas ini.
' Mereka (Myanmar) melewati transformasi yang bagus di peringkat pelapis tetapi pengalaman di peringkat antarabangsa mereka belum mampu setara dengan kita.'
Iklan
Itu reaksi bersahaja Penolong Jurulatih Negara Hassan Sazali sebelum perlawanan yang secara jelas keputusan pada Sabtu gagal mengiyakan pernyataan itu
Harus diingat, Myanmar kini serius mahu mengubah landskap bola sepak mereka.
Dengan pelantikan jurulatih bawah 19 tahun mereka sebelum ini iaitu Gerb Zeise selaku jurulatih skuad senior negara, tugasan Zeise tidak begitu sukar dalam membangunkan pasukan impian Myanmar bagi tempoh setahun ke dua tahun akan datang.
'Saya menjangkakan aksi yang lebih matang dari Malaysia, namun anak buah saya tidak begitu sukar menguasai perlawanan walaupun umur mereka masih muda dan kurang pengalaman di peringkat senior.' Tegas Zeise selepas tamat perlawanan di Stadium Thuwanna yang berkesudahan seri dengan Malaysia 0-0.
Kredibiliti Zeise bersama skuad bawah 19 tahun wajar dipuji apabila Myanmar berjaya melangkah ke Piala Dunia bawah 19 tahun di New Zealand tahun lalu.
Tidak hairan majoriti daripada pemain Myanamr pada Sabtu adalah dari skuad pelapis bawah 19 tahun yang masih segar dengan kejayaan beraksi di pentas tertinggi dunia tempoh hari.
Dan inilah hasrat Zeise sendiri yang mahu menyerap semua pemain mudanya ke dalam skuad senior sehingga ada timbul rasa tidak puas hati di kalangan pemain-pemain senior terdahulu.
Konflik itu jika berlaku sekalipun Myanmar sekurang kurangnya sudah ada bahan mentah yang hanya perlu di komersial kan dengan sebaiknya sebelum mereka benar-benar layak digelar pemain senior negara.
Tetapi apa yang tinggal untuk Malaysia? - yang terus dihantui kesilapan sama, kehampaan sama dan penyokong negara terus di henyak kekecewaan.
Lebih menyedihkan berita kejatuhan prestasi skuad negara jadi bahan jenaka dalam siri sidang media sehari sebelum perlawanan apabila ada pemberita dari Myanmar persoal mampukah Malaysia bangkit selepas tragedi hitam menyelubungi skuad negara ketika berada dibawah kejurulatihan Dollah Salleh tahun lalu.
Jawapan Kim See 'Saya disini adalah untuk mengubah wajah skuad negara' membuatkan pemberita itu terdiam namun keputusan pada Sabtu gagal mengukuhkan pernyataan Kim See sehari sebelum perlawanan.
Bagaimanapun keputusan seri dengan Myanmar itu boleh diterima dengan positif oleh skuad negara yang sekurang-kurangnya 'sedar diri' mereka sudah berada di 'comfort zone' terlalu lama sehingga pasukan bawahan sudah hampir menyaingi Malaysia yang hanya gemilang di Asia Tenggara sekitar 6 tahun lalu.
Tidak perlu penulis ulas apa kesilapan terbesar skuad negara, apa yang perlu dilakukan Kim Swee dan mengapa pemain gagal berfungsi pada kadar sepatutnya kerana ada beribu pendapat berbeza mampu diluahkan andai mereka diminta untuk berbuat demikian.
Buat skuad negara, bangkitlah, dalam kita mendabik dada dengan kejayaan lalu toleh sejenak ke belakang betapa kita semakin dihampiri dan jika dibiarkan tidak mustahil kita akan terus berada di belakang.
Selamat maju jaya.
Must-Watch Video