Skip to main content

Rencana

Izad Jangan Pergi

izad-hakimi.jpg
Dalam tempoh tiga bulan, dua pemain meninggalkan skuad hoki negara.

Kali ini, pertahanan, Izad Hakimi Jamaluddin, menarik diri ekoran rawatan pemulihan kecederaan posterior cruciate ligament (PCL) yang terlalu lama selain masalah peribadi.

Bekas tonggak Skuad Projek 2013 itu mengalami tekanan perasaan serius hingga terpaksa ambil keputusan drastik walaupun hampir pulih sepenuhnya daripada PCL.

Ironinya, saya dan Izad sama-sama menjalani proses pemulihan kecederaan sama.

Saya tahu keadaannya lebih baik berbanding saya tetapi mengapa mengaku kalah awal?

"Kami sentiasa berada di belakang Izad," komen pengurus hoki negara, Stephen van Huizen.

"Saya tahu dia mengalami keadaan sukar ketika ini apabila cedera dan kehilangan ibu bapa. Dia juga beri alasan ada masalah peribadi. 

"Kami menghormati keputusan Izad dan mendoakan keadaannya jadi lebih baik," katanya.

Malangnya, Izad enggan beri sebarang komen.

"Saya nak rehat. Saya tidak sihat," katanya.

Saya tidak boleh memaksa Izad. Saya sudah beri nasihat tetapi keputusan ditangannya.

Realitinya, Malaysia hilang seorang pertahanan kental.

Izad, 25, memainkan tugas penting dalam skuad negara.

Dia bertindak sebagai pelari pertama selain kental dibahagian pertahanan.

Pertahanan ini pernah hilang beberapa batang gigi kerana menghalang bola lawan tetapi ia tidak mematahkan semangatnya.

Namun keadaannya berubah sejak kematian ibu tahun lalu, beberapa bulan selepas kehilangan bapa.

Semangatnya runtuh. Larian, pintasan dan pukulannya tidak seperti dulu - seperti ada sesuatu yang kurang.

Pegawai psikologi Institut Sukan Negara (ISN) sudah membantu, tetapi tidak cukup untuk menghalang Izad.

Saya harap Izad dapat mempertimbangkan semula keputusan ini kerana Malaysia perlukan pemain terbaik unbtuk menghadapi Piala Dunia (November), Final Siri Dunia (April 2019) dan kelayakan Olimpik (Oktober 2019).

Jika tidak, Roelant Oltmans perlu menggunakan apa yang ada untuk menyerap kehilangan Izad dan Najmi Farizal Jazlan yang menarik diri lebih awal.

Advertisement

Must Watch Video