RENCANA
Issey jawab kritikan!
Dua jaringan menarik dan persefahaman cemerlang dipamer bersama bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, dalam aksi menentang Negeri Sembilan, Selasa lalu jadi jawapan terbaik keraguan penyokong Pahang terhadap kemampuan Issey Farran Nakajima.
Mungkin sesetengah penyokong Pahang terlupa bekas penyerang import Terengganu itu sudah berusia 34 tahun selain enam bulan tidak bermain secara kompetitif.
Jadi, bagi dapatkan rentak dalam jangka masa pendek memang satu kesukaran besar buat pemain kacukan Inggeris-Zambia dan Jepun ini selain keserasian bersama rakan sepasukan baharu.
Iklan
Dalam empat perlawanan lalu terutama dalam dua aksi menentang JDT, kelibat Issey menjadi perhatian utama penyokong Pahang sama ada di stadium atau netizen di media sosial.
Malah, mereka anggap kehadiran Issey sebagai satu pembaziran dan berasakan bekas pemain sayap dari Kemboja, Chan Vathanaka mampu lebih berikan banyak sumbangan kepada pasukan biarpun tidak pernah menjaringkan gol.
Bagaimanapun, Issey buktikan apa yang dia mampu sumbang kepada Pahang dan paling mustahak menjelang dua aksi separuh akhir Piala FA, Issey pasti mampu menjadi duri dalam daging kepada PKNP.
Berkesempatan menemui Issey selepas perlawanan di Paroi, pemain yang memegang pasport Jepun itu jelaskan dia tahu terlalu banyak kritikan dilemparkan sebahagian besar penyokong Pahang terhadap dirinya.
Tidak ambil kisah dan anggap ia sebagai asam garam pemain bola sepak, Issey jelaskan mentalnya tidak pernah koyak apa jua diperkatakan peminat malah itu jadi azimat perkuatkan lagi keazaman di atas padang.
"Saya tidak ambil hati mengenai kecaman penyokong Pahang kerana dalam diri ini, saya tahu apa yang boleh saya berikan kepada pasukan.
"Saya baharu sahaja sertai pasukan ini maka sudah tentu memakan masa dalam soal dapatkan rentak permainan yang dimahukan jurulatih.
"Bagi saya ini lumrah sebagai pemain profesional walaupun tidak nafikan harapan penyokong Pahang begitu tinggi kepada saya," katanya.
Penulis akui pada usia 34 tahun dan bermain di posisi penyerang, sudah tidak ramai pemain seusianya sudah boleh kekal bermain cergas selama 90 minit.
Di situ timbul kekaguman kepada Issey kerana dilihat seorang pemain cukup berdisiplin kekalkan tahap kecergasan sehingga takat ini selain punyai hobi unik iaitu melukis.
Must-Watch Video



