RENCANA
IRONI BUAT MALAYSIA & INDONESIA
Saya berkesempatan bertemu bekas jaguh badminton Malaysia, Rashid Sidek dalam satu sidang akhbar di Bangsar untuk menamakan Rashid dan seorang lagi bekas pemain negara, Rosman Razak sebagai Ketua Jurulatih baru Akademi Badminton Air Asia, dan Tommy Sugiarto, pemain Indonesia yang kini menghuni ranking ke-8 dunia.
Menurut perkhabaran yang diterima, Tommy sudahpun berulang alik dari Indonesia ke Malaysia untuk berlatih di bawah Rashid sejak Ogos tahun lalu. Sebelum ini Tommy dilatih sendiri oleh bapanya, yang juga bekas jaguhan Indonesia, Icuk Sugiarto.
Namun masalah visa membataskan Tommy untuk berada lebih lama di Malaysia bagi sesi latihan. Tetapi sebagai atlit sukan, Tommy tidak memandang itu sebagai satu masalah besar.
" Kalau saya di Indonesia, saya masih berlatih bapa saya, dan kalau saya ada di sini, pastinya latihan bersama coach Rashid. Dia juga menemani saya ketika bermain di luar negara seperti di Denmark Super Series." ujar Tommy dalam loghat Indonesia.
Ironinya di sini apabila Datuk Lee Chong Wei kini dilatih oleh Hendrawan, bekas pemain badminton Indonesia yang pernah merasa nikmat memenangi perak di temasya Olimpik Sydney 2000, dan Rashid Sidek, yang juga pernah memenangi gangsa di Olimpik Atlanta 1996, kini melatih Tommy, bintang badminton yang meningkat naik dari Indonesia.
Bila diminta mengulas tentang kebetulan ini, Rashid dengan tenang menjawab,
"Saya ambil ni sebagai profesional, sebab ini sudah dianggap lumrah dalam kerjaya sukan. Segala apa ilmu yang saya ada, akan saya turunkan kepada Tommy untuk menghadapi Olimpik, dan saya amat berharap dia boleh memburu kejayaan di sana."
Rashid juga akui situasi kini berbeza dengan empat tahun lalu, di mana ketika dia membimbing Chong Wei hingga ke pentas final Olimpik. Dan kini dia berharap dapat melakukan perkara yang sama terhadap bintang Indonesia itu.
" Jika pemain saya bimbing ada keinginan mahu menjadi juara, saya akan membantunya sehingga dia berjaya" Itu janji Rashid buat Tommy.
Akhir kata buat mereka berdua, syabas dan maju jaya saya ucapkan.
Must-Watch Video