RENCANA
Irfan gergasi
Bukan selalu dapat kita dengar atlet negara memecahkan dua rekod kebangsaan dalam satu kejohanan atau lebih tepat dalam satu acara.
Muhammad Irfan Shamsuddin, jaguh lempar cakera negara berjaya melakukannya pada satu kejohanan di Jerman selepas dua minggu menjalani kem latihan pusat di negara itu.
Rekod lama miliknya sendiri, 58.04m dilakukan tahun lalu.
Iklan
Namun, di Jerman, atlet kelahiran Negeri Sembilan ini berjaya mencipta rekod baru, 58.21m hanya dalam lemparan pertama.
Ia permulaan hebat dan Irfan meraikan kejayaan itu bersama jurulatih, Frank Petrovic hanya untuk tempoh beberapa saat kerana memiliki lima lagi lemparan.
Rekod kebangsaan itu hanya bertahan selama 20 minit.
Lemparan keenam (terakhir) Irfan sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan, kali ini dengan jarak 58.33m sekaligus menamatkan cabaran di tangga keempat.
"Saya yakin mampu pecahkan rekod kebangsaan, tapi bukan secara berganda dalam satu kejohanan. Ia permulaan baik kepada kem latihan di Jerman. Jurulatih banyak mengkaji teknik baru. Saya terhutang budi dengannya," kata Irfan.
Catatan ini bermakna Irfan naik ranking ke-11 Asia dan dijangka tiada masalah mempertahankan pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 kerana pencabar terdekatnya hanya sekitar 52 atau 53 meter.
Ini bermakna, dia tidak lagi sesuai bersaing di rantau ini dan mungkin sudah tiba masa untuk Majlis Sukan Negara (MSN) mewujudkan pusat latihan berprestasi tinggi di luar negara seperti basikal trek di Melbourne, Australia.
Saya cadangkan, Irfan, Nauraj Singh (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Badrul Hisham Abd Manap (pecut) sebagai kumpulan perintis.
Terserah kepada anda MSN.
Must-Watch Video