Saat merenung luar jendela bangkit daripada tidur, ditusuk perasaan terlalu hiba mengenang kegagalan skuad negara ke final Piala Thomas.
Pagi selepas pertemuan merentap emosi menentang Denmark jadi terlalu simbolik dengan hujan membasahi bumi Kunshan, seperti tangisan buat Malaysia.
Jauh di sudut timur Kunshan, kedengaran guruh sayup mengaum, mungkin melambangkan rasa marah dan kekecewaan penyokong di tanah air.
Cuaca sejuk sehingga menyentuh tulang, pasti pemain negara lebih merasai luka ini lebih daripada lain sambil mengenang apakah harapan yang ditawarkan atau cemuhan yang menanti apabila mereka pulang.
Tetapi selalunya saat hujan dan mendung berlalu akan terbit sang matahari mengembalikan sinar dan semangat.
Itu yang saya percaya,di sebalik kelam kempen ini, skuad badminton Malaysia akan kembali garang mencabar setiap gemilang termasuk buruan Piala Keramat, Piala Thomas pada masa akan datang.
Tidak salah untuk berkabung, tidak salah untuk menzahirkan kemarahan, tetapi selepas itu ayuh bangkit,bersama dan seiring badminton Malaysia.