RENCANA
Harimau Malaysia tak cukup garang
Aksi perlawanan persahabatan di Yangon membabitkan Myanmar berdepan Malaysia boleh dianggap sebagai sesi pemanas badan terbaik buat skuad negara sebelum bertemu Timor Leste untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2019.
Namun persembahan Malaysia secara keseluruhan dilihat masih lagi belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan biarpun keputusan perlawanan terikat seri tanpa jaringan.
Umum sudah tahu akan kecederaan yang menimpa kapten Malaysia, Safiq Rahim yang secara tidak langsung memberi peluang kepada Amirulhadi, Junior Eldstal dan Baddrol Bakhtiar mengemudi jentera tengah dalam kesebelasan utama. Tetapi aksi jentera tengah dilihat tenggelam dan tidak mampu mencipta gerakan dan hantaran berkualiti kepada jentera serangan, dan skrip yang sama turut berlaku dalam situasi bertahan apabila barisan pemain tengah dilihat kerap kehilangan bola.
Iklan
Pemain-pemain negara seperti kurang motivasi apabila setiap gerakan taktikal yang dilakukan dilihat seolah-olah tiada keserasian. Hantaran pendek tidak tepat, hantaran jauh tak sampai, kurang komunikasi antara pemain menjadi punca utama skuad Malaysia gagal meledakkan gol yang dicari. Hanya benteng pertahanan yang dilihat sedikit mantap apabila kerap menutup ruang dan peluang yang dicipta skuad Myanmar untuk mengelakkan gawang dari dibolosi.
Datuk Ong Kim Swee tentunya berdepan tekanan besar dalam aksi bertemu Timor Leste jika kesebelasan yang sama diturunkan kerana pemain-pemain yang diturunkan seperti tidak mempunyai keserasian di antara satu sama lain. Banyak kerja perlu dilakukan bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dapat dilihat dalam perlawanan ini. Keputusan seri bertemu Myanmar yang berada di tangga ke 167 dunia dilihat masih lagi boleh diterima, namun jika skuad ini gagal mencipta kemenangan ketika bertemu Timor Leste nanti, ianya boleh dianggap sebagai satu malapetaka buat skuad kebangsaan.
Must-Watch Video