Skip to main content

Rencana

Harapan buat Sarri, Sarriball

sarri-hazard-kovacic.jpg
Manchester City kembali selaku juara bertahan, Liverpool mengidam kejuaraan sejak sekian lama dan Chelsea tampil dengan gaya baharu - penulis lebih tertarik untuk menyentuh permulaan kerjaya jurulatih dari Itali, Maurizio Sarri, bersama The Blues berbanding dua lagi pasukan yang masih mengekekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh aksi pertama Liga Perdana Inggeris.

Hasil penggayaan baru yang digelar 'Sarriball' atau 'Sarrimo' - Chelsea merekod lima kemenangan dan seri dua kali, menghasilkan 17 mata - kurang dua mata untuk berada di belakang The Citizens dan The Reds serta mencetak 15 jaringan sambil hanya bolos lima gol setakat artikel ini ditulis.

Perbezaan paling ketara pada Chelsea sudah pasti formasi 4-3-3 yang digunakan Sarri, selain hantaran pendek-pantas yang sedikit menyerupai 'tiki taka' seperti zaman kegemilangan Pep Guardiola bersama Barcelona dan 'high pressing' yang kurang berisiko berbanding taktikal kegemaran Jurgen Klopp.

Kedatangan Sarri ke Stamford Bridge turut disertai pemain kepercayaannya, Jorginho, yang banyak menghidupkan taktikal ini di Napoli. Sarri gemar mengelirukan lawan dengan peranan pemain tengah yang berupaya turun dan naik serta 'menyekat' pertahanan lawan agar meninggalkan posisi asal mereka.

Pemain Sepanyol, Marcos Alonso, turut menyertai senarai pemain paling penting dalam gaya permainan 'Sarriball'. Selepas 10 perlawanan di bawah Sarri, pertahanan ini mencatatkan lima bantuan jaringan dan menyamai pencapaian peribadinya, dua musim lalu.

Tidak dilupakan juga peranan Eden Hazard di bahagian serangan yang diakui kini lebih mudah menemui penyudah berbisa. Pemain antarabangsa Belgium itu menjaringkan lima gol termasuk hatrik ketika menentang Cardiff pada September, sekali gus meletakkan Hazard dalam senarai 10 penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea bersama lagenda, Frank Lampard dan Didier Drogba.

Jelas apa yang direncana oleh jurulatih yang asalnya seorang pemain bolasepak amatur yang berkhidmat sepenuh masa di sebuah bank di Itali ini telah pun berjaya digarap dengan baik. Sedikit sebanyak, bekas pengendali Chelsea, Antonio Conte, semakin dilupakan.

Namun, persoalan apakah Sarri berupaya mengikut jejak langkah rakan senegaranya itu - membawa Chelsea julang kejuaraan liga pada tahun pertamanya membimbing pasukan - hanya akan terjawab penghujung musim nanti. 

Advertisement

Must Watch Video