Skip to main content

Rencana

Guardiola yang terbaik di dunia

hafizal-1.jpg
Sejurus dimasyhurkan selaku Pemain Muda Terbaik Tahunan, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA), Leroy Sane mengisytiharkan Pep Guardiola adalah jurulatih terbaik di dunia.

Pemain sayap City, Sane, mempertahankan bahawa peningkatan menakjubkannya musim ini adalah hasil asuhan pengurus kelab juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2017-18 itu yang disifatkannya tiada tolok bandingnya.

Sane mendapat undian tertinggi rakan-rakan pemain professional untuk anugerah berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap 13 jaringannya dalam 45 penampilan untuk City musim ini.

Pemain antarabangsa Jerman berusia 22 tahun itu sudah kerap bermula dalam kesebelasan utama City – juara berganda dengan turut memenangi Piala EFL dalam musim kedua Guardiola selaku pengurus di Stadium Etihad – sambil menyanjung ketelitian pengurus itu dalam meningkatkan permainannya.

“Pep, bagi saya, adalah jurulatih terbaik di dunia,” katanya kepada Sky Sports. “Semua orang boleh melihat betapa kami telah meningkat dan telah mengambil langkah berikutnya.

“Dia sentiasa mencuba untuk mengerah yang terbaik dan menunjukkan kami cara untuk bermain bola sepak yang bagus.”

Sane mengetepikan saingan rakan sepasukan, Ederson dan Raheem Sterling, di samping Harry Kane (Tottenham), Ryan Sessegnon (Fulham) dan Marcus Rashford (Manchester United) untuk meraih anugerah PFA itu, dengan bintang Liverpool, Mohamed Salah, ditabalkan Pemain Terbaik Tahunan PFA dalam musim pertamanya di Anfield.

“Saingan Liga Perdana Inggeris sarat dengan pemain-pemain menakjubkan dan saya terharu untuk menerima anugerah ini,” katanya. “Semua pemain lain yang turut tercalon, turut menyerlah dalam musim cemerlang masing-masing dan turut berhak menang.

“Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan, staf kelab, pasukan kejurulatihan dan tidak ketinggalan, penyokong City yang hebat.”

Sane, yang menyertai City daripada Schalke pada 2016, menikmati setiap detik di England dan bertegas bahawa Manchester City adalah kelab ideal untuknya meneruskan peningkatannya.

“Saya sangat berterima kasih kerana pasukan ini adalah sempurna. Mereka semuanya pemain yang bagus-bagus dan kami semua sentiasa bekerja keras.

“Untuk bermain dengan pemain-pemain menakjubkan seperti yang dimiliki dalam pasukan kami, adalah sesuatu yang hebat. Syukur juga kerana kelab memberikan saya kesempatan untuk melakukannya dan saya menikmati setiap saat berkenaan.”

Buat Sane, ia baru permulaan, dengan yang terbaik daripadanya akan terus dipertontonkan.

Dengan Guardiola di sisinya, siapalah yang mampu mempertikaikan.

 

Advertisement

Must Watch Video