Tanpa ada sebarang alasan yang kukuh, tindakan KAFA itu seperti sukar difahami ketika dua nama besar, B. Sathianathan dan V. Sundramoorthy turut berada dalam radar.
Malahan, ada segelintir peminat setia Kelantan berasakan langkah KAFA itu sebagai satu langkah ke belakang kerana ambil risiko lantik Devan yang tiada sebarang pencapaian bersama empat pasukan terakhir.
Selain itu, tindakan KAFA mengambil pertahanan buangan PDRM, Mohd. Muslim Ahmad juga cetuskan tanda tanya seolah-olah sudah tiada lagi pemain tempatan lain di Malaysia.
Satu jawapan terhadap segala persoalan mengambil Devan dan Muslim ialah mungkin KAFA ambil jalan mudah untuk jimatkan kantung persatuan pada 2016 selepas berdepan krisis kewangan yang teruk sepanjang musim ini.
Devan yang kehilangan jawatan dari Negeri Sembilan bila sekadar menduduki tangga keenam Liga Perdana serta gagal ke Piala Malaysia, dilihat terdesak mendapat tempat bagi memulihkan kembali kariernya.
Situasi itu mungkin dilihat KAFA sebagai langkah terbaik dengan kemukakan tawaran yang rendah berbanding Sundramoorthy dan Sathianathan.
Tiada salahnya Kelantan berbuat demikian namun jika benar asasnya mahu ambil langkah kurangkan perbelanjaan, mengapa tidak beri sahaja peluang kepada anak jati negeri sendiri untuk berbakti?
Sebagai contoh, mengapa tidak berikan kepada pemangku jurulatih, Zahasmi Ismail untuk tempoh semusim lagi atau jurulatih Piala Presiden, Nafuzi Zain yang berjaya membawa skuad negeri itu muncul juara.
Dua nama ini sebenarnya berbakat besar dalam dunia kejurulatihan terutama Nafuzi yang mampu ubah nasib Kelantan daripada antara tangga terbawah pada pertengahan musim di saingan liga kepada johan keseluruhan.
Jika tidak berikan peluang pada masa sekarang, bila lagi dan siapa lagi yang mampu berikan mereka platform malahan tindakan ambil jurulatih bersifat kitar semula, bukan satu tindakan bijak.
Daripada segi persoalan pemain, penulis memuji menyerap lima pemain Piala Presiden ke skuad utama selain lihat kehadiran bekas pemain Terengganu, Abdul Manaf Mamat cukup tepat cuma masih perlukan masa untuk pulih daripada kecederaan.
Mungkin lebih adil untuk berikan ruang terlebih dahulu kepada Devan buktikan sentuhannya tetapi risiko diambil KAFA jelas terlalu tinggi....Gomo Devan Gomo!
Dayne Azmin
Sun Dec 06 2015