Skip to main content

Rencana

Gerak tari sumbang Peng Soon, Liu Ying

peng-soon-liu-ying.jpg
Benar, bukan mudah untuk kembali menemui rentak selepas terpisah untuk satu tempoh masa. Apatah lagi sepanjang tempoh itu, corak permainan gandingan sementara perlu diserap dan difahami. 

Situasi ini menjadikan kita sukar untuk menyalahkan Chan Peng Soon yang sempat bergandingan bersama pemain muda, Cheah Yee See, mahu pun Goh Liu Ying yang bergelut dengan kecederaannya sebelum ini, namun apa yang dipamerkan bekas beregu campuran no.1 negara ini pada aksi final Terbuka Australia jauh daripada jangkaan.

Berdepan pilihan kelima kejohanan, Seo Seung-Jae / Chae Yujung, pasangan negara tidak mempamerkan keghairahan untuk memenangi perlawanan dan ia jelas kelihatan pada hampir keseluruhan set pertama yang menyaksikan Peng Soon dan Liu Ying tewas mudah 21-12. 

Jika faktor kepenatan dijadikan alasan, jelas kelebihan memihak lawan dari Korea yang lebih mudah menundukkan pasangan senegara, Choi Salgyu/ Kim Ha Na di separuh akhir, sementara Peng Soon dan Liu Ying perlu mencari mata ke 25 untuk mengesahkan kemenangan straight set ke atas pasangan China, Wang Zekang/ Li Yinhui.

Perlu diingat, objektif utama mereka di Sydney adalah untuk memperbaiki ranking dunia bagi mengejar kelayakan ke kejohanan dunia di Nanjing, China, dengan misi berada di kelompok 24 terbaik. Peng Soon dan Liu Ying kini berada di ranking ke-46 dengan satu kejuaraan dalam tangan iaitu Masters Thailand, kira-kira sebulan selepas digandingkan.

Kecewa di Australia, Peng Soon dan Liu Ying juga nampaknya perlu segera memperbaiki fokus mereka yang menjadi antara faktor keciciran mata pada saat getir seperti mana, Seung-Jae/ Yujung memberikan tekanan itu di penghujung set kedua. Selepas ini, Peng Soon dan Liu Ying akan menyertai Terbuka Amerika Syarikat pada Jun dan diharapkan gerak tari mereka kali ini lebih kemas dan mempesona sehingga memukau pihak lawan.
 

Advertisement

Must Watch Video