Skip to main content

Rencana

Garuda dilanda sumpahan Harimau Malaya

garuda.jpg
Sedar atau tidak, Indonesia tidak lagi berupaya menewaskan skuad kebangsaan kita sejak meraih kemenangan 3-0 dalam saingan Piala Suzuki AFF 2016.

Terbaru, skuad kebangsaan kita menumpaskan Sang Garuda 2-0 dalam aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Sebelum perlawanan, penulis memang yakin barisan kendalian Tan Cheng Hoe itu berupaya menumpaskan Indonesia berlandaskan prestasi terkini Harimau Malaya serta selepas menewaskan Thailand dalam aksi terdahulu.

Bukan mengecilkan kemampuan Indonesia, namun peminat fanatik mereka juga kini harus mengakui skuad senior kebangsaan atau Timnas mereka kini seakan-akan berada dalam krisis dan mungkin barisan terlemah yang pernah ditampilkan negara jiran itu.

Hakikatnya, sejak 2017, Harimau Malaya sentiasa merakamkan kemenangan ke atas Indonesia di peringkat bawah 19, 23 dan juga senior yang seakan-akan satu sumpahan buat mereka.

Mungkin juga bola sepak Malaysia ketika ini di tahap terbaik untuk terus meningkat ke aras yang lebih tinggi dengan aksi yang dipamerkan skuad senior serta barisan muda bawah 19 tahun.

Jika diperhatikan juga, terdapat banyak peningkatan dalam corak permainan skuad negara sejak muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 di bawah kendalian Cheng Hoe.

Memang, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan ia kelihatan ketika kita tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 0-1 kepada Vietnam dalam aksi kelayakan terdahulu.

Namun, barisan negara menunjukkan kematangan untuk bangkit dan kini sudah merakamkan tiga kemenangan untuk menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan sembilan mata selepas lima perlawanan.

Bagi Indonesia, penulis berharap mereka akan kembali bangkit di pentas antarabangsa selepas ini meskipun ia mungkin memakan sedikit masa buat peminat mereka kembali menyaksikan keampuhan Sang Garuda.

Mungkin juga di kala Indonesia kini berada di titik paling lemah dalam sejarah bola sepak mereka, peminat mereka berupaya bermuhasabah diri sedikit apabila berdepan Malaysia.

Sebelum ini, kerap saja terjadi insiden provokasi melampau apabila skuad kebangsaan sama ada di peringkat senior mahupun bawah umur bertandang ke Indonesia.

Mungkin juga rasa kebencian yang amat terhadap Malaysia dalam saingan bola sepak juga adalah faktor mengapa mereka kini seakan-akan dilanda sumpahan Harimau Malaya.

Advertisement

Must Watch Video