Skip to main content

Rencana

Frank Lampard bukan jurulatih teruk

skysports-frank-lampard.jpg
Chelsea mungkin tidak berada pada prestasi terbaik tetapi Frank Lampard bukanlah jurulatih yang teruk.

Itu realiti yang berlaku dalam kem Chelsea yang menghuni no.9 Liga Perdana Inggeris dan berdepan kemungkinan terlepas tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan tetapi masih berpeluang mengulangi kejuaraan Piala FA 2018 apabila melangkah ke pusingan kelima.

Lampard, legenda Chelsea yang sudah 2 musim membimbing pasukan tahu kedudukannya di Stamford Bridge goyah apabila perbelanjaan bernilai £200 juta (RM1.1 bilion) untuk mendapatkan pemain baharu pada musim panas lalu tidak menggembirakan ahli lembaga pe­ngarah Chelsea.

Tetapi satu nilai terpuji yang dipraktikkan Lampard adalah langsung tidak menjadikan tekanan itu sebagai alasan untuk dia hilang fokus atau mengabaikan tanggungjawabnya dan ia menjadi inspirasi para pemain ketika berdepan asakan pasukan Liga Kejuaraan, Luton Town yang menanti peluang untuk mengejutkan pasukan gergasi di saingan Piala FA yang bersifat kalah mati.

“Kami terpaksa mengharungi detik sukar ini dan saya masih tidak ada masalah untuk me­nyarung jersi pasukan Chelsea dengan penuh rasa bangga."

Kenyataan itu dikeluarkan Lampard ketika khabar angin bertiup kencang tentang tempatnya yang bakal diisi bekas Pengurus Paris St Germain, Thomas Tuchel.

Namun apa yang terpamer di Stamford Bridge untuk pusingan keempat Piala FA damai sahaja dengan para pemain menunjukkan permainan yang cukup baik, melancarkan 21 percubaan ke gawang Luton termasuk 7 cubaan tepat yang menghasilkan 3 jaringan.

Apa yang lebih menarik, 87% hantaran yang dilakukan pemain Chelsea sampai tepat ke sasaran, seperti mana pemain pertahanan, Reece James menghantar bola tepat ke posisi untuk ditanduk penyerang, Tammy Abraham yang dirantai pihak lawan, sekaligus menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-17.

Dan ketika Luton cuba meningkatkan penguasaan bola kepada 32% dengan 'comeback' di separuh masa kedua, Chelsea masih berjaya mengekalkan momentum baik dan apa yang semakin jelas kelihatan adalah keserasian para pemain ketika melakukan serangan.

Paling ketara, bagaimana pemain gantian, Callum Hudson-Odoi melakukan sentuhan satu-dua dicelah kekalutan sebelum ia tiba tepat ke kaki Tammy untuk pemain berusia 23 tahun ini menjadi pemain Chelsea pertama merekod hatrik di saingan Piala FA sejak Oscar pada perlawanan menentang MK Dons pada Januari 2016.

Tammy juga mengingatkan kembali kredibiliti pemain inggeris yang pun sudah lama tidak mencatat hatrik sejak Lampard merekod 3 gol pada perlawanan menentang Macclesfield pada Januari 2007.

Tidak kira dalam bentuk pemain mahu pun jurulatih, sentuhan Lampard pastinya akan kembali dirindui di Stamford Bridge. 

Advertisement

Must Watch Video