Skip to main content

Rencana

FA boleh ke jadi FC?

liga-malaysia-01-1200x619.jpg
Saingan Liga Malaysia sudah menjadi saingan liga profesional sepenuhnya sejak 1994, lima musim selepas terlebih dulu mengharungi era Liga Semi-Pro bermula 1989.

Namun dalam lima musim kebelakangan ini, isu gaji tertunggak pemain dan pegawai pasukan masih lagi berlaku dan terbaru yang menjadi tumpuan media arus perdana membabitkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

KFA sebelum ini dilaporkan menanggung beban hutang sebanyak lebih RM10 juta dan KAFA difahamkan turut mempunyai jumlah hutang yang tinggi serta turut membabitkan gaji tertunggak bekas pemain.

Mengapa masalah ini masih berlaku? Sedangkan Kedah dan Kelantan tidak lama sebelum ini dianggap antara kuasa besar Liga M, malah buat seketika dulu turut mampu menyaingi Johor Darul Takzim (JDT).

Tatkala JDT sudah berupaya beraksi di saingan elit Liga Juara-Juara AFC (ACL), KFA dan KAFA pula dihimpit masalah kewangan. Apa perbezaan JDT berbanding KFA dan KAFA?

Jawapannya mudah, JDT yang dimiliki Tunku Ismail Sultan Ibrahim sentiasa memiliki visi jauh ke depan dan pengurusan pasukan yang berteraskan kelab profesional sepenuhnya sejak 2013.

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agung persatuan itu, Stuart Ramalingam menegaskan pertukaran status setiap pasukan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC) perlu dilakukan selewat-lewatnya pada September tahun ini, jika mereka mahu mendapatkan lesen beraksi di Liga M pada musim depan.

Penulis amat mengalu-alukan ketegasan daripada FAM dalam hal ini dan berharap persatuan itu bersama pentadbir Liga M, MFL tidak lagi berkompromi dengan setiap pasukan.

Terus terang penulis sudah jelak, bosan dan mual dengan kaedah pentadbiran pasukan dengan status 'FA' yang terus terang penulis katakan ia pentadbiran amatur dan tak salah kalau dilabel 'pentadbiran kampung' serta tidak lagi relevan dalam kancah bola sepak moden.

Sebelum ini kebiasaannya hampir kesemua pasukan berstatus FA menjadikan amalan melantik presiden di kalangan Menteri Besar atau ketua menteri di negeri masing-masing bagi memudahkan usaha mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan negeri.

Ia jelas bukan satu pendekatan yang sihat untuk jangka masa panjang kerana kebergantungan kepada dana kerajaan negeri dan kebiasaannya tiada usaha daripada persatuan bola sepak negeri untuk berusaha menjana pendapatan sendiri.

Sepatutnya setiap persatuan bola sepak negeri sudah ada usaha bergerak menjadi FC lima atau 10 tahun lalu tanpa menunggu FAM atau MFL bertegas mengenainya.

Kelab-kelab di Korea Selatan dan Jepun mula membabitkan syarikat-syarikat koporat gergasi mereka sejak era 80 dan 90an lagi yang menyumbang kepada peningkatan bola sepak mereka di peringkat Asia dan kini dunia.

Pendekatan sama juga tampak dicontohi Thailand di mana kelab-kelab utama dalam saingan Liga Satu Thailand turut dimiliki syarikat-syarikat gergasi negara itu.

Situasi menswastakan pengurusan pasukan negeri kini tampak lebih mencabar dengan pandemik Covid-19 di peringkat global namun, ia tetap perlu dilaksanakan.

Ketika ini, terdapat pengurusan beberapa pasukan yang sudah mulakan usaha menjadi FC walaupun masih jauh untuk dibandingkan dengan JDT.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di bawah pimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tampak sudah berjaya melakukan perubahan dengan Selangor kini mempunyai pusat latihan yang lengkap.

Sudah pasti masih ada kelemahan seperti tiada lagi stadium milik sendiri seperti JDT, tetapi penulis percaya FAS di landasan tepat menjadi pengurusan pasukan berteraskan FC sepenuhnya dalam masa terdekat.

Untuk menjadi kelab profesional sepenuhnya, sesebuah pasukan itu perlu beroperasi sebagai sebuah syarikat, mempunyai pemegang taruh dan ahli lembaga pengarah, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sepenuh masa, badan pemasaran dan pelan perniagaan yang berkesan.

Sebelum ini juga terdapat beberapa pasukan berstatus kelab seperti MPPJ Selangor, Public Bank Selangor, MK Land Selangor, KL Plus dan Sime Darby FC yang berkubur selepas beberapa musim beraksi.

Ia kerana walaupun mereka pasukan kelab, tetapi pentadbiran mereka masih amatur seperi pasukan berstatus FA dan sentiasa bergantung kepada syarikat atau badan yang mereka wakili.

Kerana itu, FAM pada hari ini memantau juga proses kelab seperti Felda United untuk menjadi pasukan berstatus FC sepenuhnya.

Difahamkan Felda United juga berada di landasan tepat menjadi kelab berstatus FC dalam masa terdekat.

Kelab itu juga mempunyai pusat latihan sendiri di Bangi namun, penulis sebenarnya tidak faham pendekatan pengurusan terdahulu kelab itu membina stadium milik Felda United, Stadium Tun Abdul Razak di Jengka.

Hujah pengurusan terdahulu Felda United ialah mahu menarik peyokong di kalangan warga penduduk Felda di Jengka namun, lokasi stadium tersebut tidak strategik dan sukar mendapat kelulusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk pertandingan antarabangsa dan kelab AFC.

Mungkin apabila struktur kewangan pasukan bertambah kukuh serta Felda United lulus piawaian mendapatkan status FC, pihak pengurusan mereka perlu memikirkan kaedah terbaik menangani masalah lokasi Stadium Tun Abdul Razak.

Penulis berharap lebih banyak pasukan akan menggandakan usaha untuk naik taraf menjadi FC sepenuhnya menjelang tarikh akhir yang ditetapkan FAM September ini.

Jika pada September nanti hanya ada 10 pasukan yang menepati piawaian yang ditetapkan FAM, penulis cadangkan persatuan itu bersama MFL teruskan Liga M dengan hanya pasukan yang berjaya mendapatkan lesen bertanding.

Jika itu berlaku, mungkin kesemua pasukan tersebut boleh diletakkan dalam saingan Liga Super dan selebihnya di saingan M3.

Sudah tiba masanya keutamaan diberikan kepada kualiti dan bukan kuantiti pasukan dalam saingan Liga M yang hanya mengundang kepada masalah kewangan yang tiada kesudahannya.

Advertisement

Must Watch Video