Skip to main content

Rencana

DULU, KINI DAN AKAN DATANG

250116iskandar-jpg.jpg
Kini Malaysia masih menjunjung kudrat Datuk Lee Chong Wei yang bertanggungjawab meletakkan badminton Malaysia di persada dunia dengan "Misi Emas Olimpik Sulung Malaysia" masih bergantung pada setiap keringatnya.

Akan datang siapa yang tahu, kerana itu persoalan yang sering meniti di bibir peminat sukan tanah air, setidaknya kini,nama Iskandar Zulkarnain Zainuddin sudah mula menyinar.

Dulu anak-anak Sidek, Misbun dan Rashid memainkan peranan membentuk fizikal,perwatakan dan aspek teknikal dan taktikal Chong Wei sehingga menjadi ikon dunia.

Kini Chong Wei mampu berdiri sendiri, mengekalkan disiplin yang masih sukar disentuh pemain muda negara kerana setiap hari dia yang pertama dan yang terakhir untuk pulang dari gelanggang latihan.

Akan datang inilah rentak yang perlu dicontohi perseorangan muda negara andai mereka mahu meneruskan legasi gemilang badminton Malaysia, langkah yang mungkin sudah disedari Iskandar.

Dulu jurulatih perseorangan negara buntu bagaimana untuk memotivasi pemain untuk melahirkan kemahuan tersendiri untuk berjaya meskipun segala ramuan untuk mencipta keajaiban sudah ditawarkan.

Kini elemen yang hilang itu dipikul Chong Wei kepada pemain muda negara susulan usaha dia menyuntik semangat untuk berjaya sama ada menerusi pengajaran ketika sesi latihan atau perbicaraan hati ke hati.

Akan datang Chong Wei akan lihat hasil amanat yang ditinggalkan dia kepada pemain muda. Lihat sahaja bagaimana bisikan, andalah masa depan Malaysia dia kepada Iskandar susulan final GP Emas Masters Malaysia di Pulau Pinang itu akan meninggalkan kesan begitu mendalam buat seorang individu.

Dulu, penulis juga wartawan hijau,membesar dengan keagungan badminton Chong Wei sambil di satu sudut melihat Iskandar terkapai mencari hala tuju kerjaya yang bermula di Stadium Juara Bukit Kiara.

Kini,Iskandar sudah ada keyakinan, tutur kata dalam berdepan media menjawab persoalan hangat dibuktikan dengan peningkatan prestasi dalam gelanggang kompetitif.

Akan datang Iskandar berupaya meilhat kembali kejayaan ke Final Masters Malaysia adalah titik kebangkitan dia sebagai individu yang meneruskan legasi Chong Wei.

Dulu Malaysia ada anak-anak Sidek, kini masih menaruh setiap impian pada bahu Chong Wei, akan datang Iskandar lah yang terdekat untuk dicanang sebagai pemain yang membuktikan sinar badminton Malaysia akan terus membakar hangat untuk generasi masa depan.

Advertisement

Must Watch Video