RENCANA
Dia tidak tahu. Saya yang terdahulu suka padanya.
Saya yang suka dan kagum padanya.
Dia tidak tahu.
Pertama kali mengenalinya selepas membaca akhbar bahawa atlit ini merangkul 3 pingat emas dalam kategori T13 acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter di Sukan Para Asean 2015, Singapura.
Iklan
Perasaan kagum, bangga dan gembira buat gadis 16 tahun kelahiran Sabah yang berjaya menempuhi cabaran hidup untuk berbakti kepada Malaysia.
“Saya boleh nampak samar-samar. Tapi susah kalau jauh dan gelap”.
Felicia Mikat dari Kampung Kipaku, Tambunan tidak pernah menjadikan masalah penglihatannya sebagai alasan untuk berjaya.
Saya terharu apabila mendapat tahu bahawa pelari pecut ini terpaksa berjauhan dengan keluarga sejak berumur 7 tahun untuk mendapatkan pendidikan dan bantuan di sekolah khas.
Berlatar-belakangkan keluarga miskin, ia sudah pasti mengajar Felicia untuk tabah berjuang dan menghargai kehidupan.
Lebih banyak saya mengetahui tentang Felicia, lebih teruja saya ingin berjumpa dengannya satu hari nanti.
Hari istimewa itu tiba apabila dijemput sebagai bekas atlit ke Anugerah Sukan Negara 2015 pada 25 Mei 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya(PICC).
Saya tabik kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Astro Arena kerana mempersembahkan majlis ke 50 ini ala konsert dan lain daripada yang lain.
Saya tersangat suka.
Namun lebih suka apabila Felicia Mikat dianugerahkan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2015. Saya sebak melihat kegembiraaan Felicia memegang trofi itu buat julung kalinya.
Manakala Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (Olahraga) memeluk Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan setelah dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan.
Pandelela Rinong (Terjun) dan Mohd Al-Jufferi Jamari (Silat) masing-masing diberi pengiktirafan sebagai Olahragawati dan Olahragawan Kebangsaan.
Walaupun anugerah paralimpik masih dikira semuda 11 tahun apabila Allahyarham Mohd Salam Sidik (Memanah) dan Siow Lee Chan (Powerlifting) dinobatkan buat pertama kalinya di Anugerah Sukan Negara dibanding 50 tahun untuk atlet sepenuh upaya, ia menjadi platform dalam memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kehebatan atlet paralimpik dan kita perlu menghargai mereka.
Di akhir majlis, saya terus bergegas ke arah idola saya, Felicia Mikat.
“Saya suka pada akak. Selalu saya nampak dan dengar akak di Astro Arena. Akhirnya dapat berjumpa”, katanya.
Saya tergamam sebentar.
Dalam hati saya berbisik, “Saya yang nak berjumpa Felicia. Dan saya yang terdahulu suka dan kagum pada kamu. Ya, akhirnya kita berjumpa! Terima kasih”.
Must-Watch Video