Skip to main content

Rencana

Destinasi kembara Stephen Constantine

stephenconstantinejpg.jpg
India, negara yang membudayakan sukan kriket dalam kehidupan masyarakatnya.

Keseriusan rakyat India tentang kriket tidak hanya dengan menonton perlawanan di stadium dan kaca televisyen.

Sekiranya berkesempatan ke India, pergi sahaja ke mana-mana padang awam - tidak kira dikawasan bandar atau kampung - anda  boleh melihat ramai sekali masyarakat disana yang meluangkan masa bermain sukan ini bersama rakan-rakan pada sebelah petang.

Kriket juga seringkali menjadi subjek popular dalam penerbitan filem di India - termasuklah karya berbentuk patriotik dan kemasyarakatan yang secara tidak langsung mampu menyuntik perpaduan rakyat - bukan sahaja ditujukan buat rakyat India, malah negara jiran, Pakistan seperti yang digambarkan dalam filem terkenal lakonan Salman Khan, Bajrangi Bhaijaan.

Kecintaan India kepada kriket menyaksikan para pemain diangkat sebagai idola yang setanding dengan pemimpin negara itu - namun Pakistan lebih teruja dalam perihal ini menyaksikan pemain terkenal, Imran Khan menjadi perdana menteri pada usia 65 tahun.

Keterbukaan India dalam bidang sukan menyaksikan usaha memajukan sukan-sukan lain juga semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Tahun 2018, menjadi saksi India bersedia menjadi kuasa besar badminton dengan kejutan di beberapa kejohanan utama dan bertaraf temasya seperti Sukan Komanwel Gold Coast - termasuk gandingan beregu yang mendapat sentuhan legenda Malaysia, Tan Kim Her.

Dalam diam India juga semakin cemerlang dalam bola sepak dengan kejayaan melonjak 70 anak tangga dari kedudukan ranking dunia FIFA, 174 ke 97 - salah satu KPI yang diletakkan ketika Stephen Constantine dilantik selaku ketua jurulatih India pada 2015.

Pengendali yang lahir di London, England, ini adalah antara jurulatih yang paling banyak mengembara dalam mengembangkan kerjaya sehingga turut berkongsi pengalamannya dalam sebuah buku bertajuk 'From Delhi to the Den'.

Mungkin kekecewaan bersara awal sebagai pemain bola sepak ketika berusia 26 tahun kerana kecederaan lutut yang serius, menjadikan Constantine begitu dambakan kesempurnaan dalam kerjaya barunya ketika itu sehingga sanggup berkelana lama meninggalkan keluarga.

Nepal menjadi destinasi pertama, sebelum India mula mencuri hati Constantine pada 2002 - menyaksikan jurulatih berusia 56 tahun itu sedia kembali membimbing skuad kebangsaan India pada 2015.

Bagaimanapun, peminat bola sepak yang semakin bercambah di India dambakan lebih kejayaan - sekaligus mencipta tekanan keatas Constantine untuk memacu kecemerlangan India di Kejohanan Piala Asia 2019.

Sebelum itu, terdapat kelompok penyokong yang melancarkan kempen #ConstantineOut di seluruh media sosial sebagai mendesak kejutan dibawa pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE)  - namun perjuangan India terhenti di peringkat kumpulan apabila tamat selaku pasukan tercorot kumpulan A.

Maka Constantine mengundurkan diri daripada membimbing skuad kebangsaan India atas rasa tanggungjawab pada hari sepatutnya dia menyambut hari lahir isteri tercinta - Constantine kini boleh kembali ke pangkuan isteri dan tiga anaknya yang hanya dilawati tiga atau empat bulan sekali sahaja sebelum ini, sekurang-kurangnya buat satu tempoh masa.

Advertisement

Must Watch Video