"Beli mahal tapi lemau," Itu antara luahan rata-rata peminat bola sepak tanahair terhadap prestasi pemain import selepas saingan Liga Malaysia berada di pertengahan musim.
Kemarahan mereka itu sudah pasti ditujukan kepada pasukan-pasukan yang bermasalah membabitkan pemain penyerang dengan menganggap pelaburan yang dibuat langsung tidak memberi pulangan lumayan.
Berdasarkan prestasi individu dan pasukan, beberapa nama cukup ketara begitu hambar aksi mereka sehinggakan ada yang dilabel indah khabar dari rupa.
Penyerang import Terengganu, Juan Jose Morales mungkin berada di carta pertama paling lemau selepas aksi pemain dari Argentina itu sering menjadi bahan ketawa oleh penyokongnya.
Situasi itu berlaku di depan mata penulis ketika aksi pasukan berkenaan di Kuala Terengganu baru-baru ini apabila pemain yang dipanggil JJ Morales itu diketawakan oleh penyokongnya ketika dimasukkan sebagai pemain gantian.
Mungkin kerana gaya permainan pemain berusia 34 tahun itu seperti 'tidak kena' dengan reputasinya sebagai bekas pemain liga terkemuka dunia Liga Primera Argentina, tetapi apa yang pasti prestasinya memang hambar apabila hanya mampu menyumbat satu gol setakat ini.
Berada di kedudukan kedua paling lemau seakan penyerang import Perak, Vokhid Shodiev dari Uzbekistan.
Masih tercari-cari rentak permainan, Shodiev juga hanya mampu menghasilkan satu gol sekaligus berdepan penyingkiran oleh The Bos Gaurus
Awang import Kelantan, Dramane Traore hadir ke Kota Bharu dengan reputasi hebat selaku penjaring terbanyak Liga Super 2015, namun bekas penyerang PDRM itu berdepan situasi sebaliknya musim ini.
Malah, Traore awal-awal lagi mahu disingkirkan oleh penaja utama pasukan berkenaan Datuk Vida kerana bergelut dengan prestasi untuk membantu pasukan meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan.
Beberapa nama lain lagi turut disebut-sebut akan digugurkan antaranya penyerang import Pulau Pinang, Osas Ikpefua dan penyerang import Kedah, Carlos Kahe kerana gagal memberi persembahan terbaik bersama pasukan masing-masing.
Kemungkinan besar juga pemain pertahanan akan berdepan nasib sama selepas gagal memainkan peranan penting bersama pasukan masing-masing dan antara yang mencuri perhatian ialah Vincent Bikana dari Terengganu dan Gilberto Alemao dari Felda United.
Nasib mereka ini ibarat telur di hujung tanduk kerana saya percaya rata-rata jurulatih sudah ada perancangan untuk membuat rombakan untuk memperkasakan pasukan masing-masing pada jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia, Jun ini.
Siapa yang bakal disingkirkan? pemain import lemau kini menanti penuh debar nasib mereka.