RENCANA
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
SEKARANG rakyat Malaysia tahu di mana Bydgoszcz. Sebuah bandar di utara Poland di mana legenda bola sepak negara itu, Zbigniew Boniek, memulakan kerjayanya bersama Zawisza Bydgodzcz, kira-kira 250 kilometer dari Warsaw.
Ini semua gara-gara keputusan pakar pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap, mahu melupakan kembara ke Bydgoszcz semata-mata untuk mewarnai pentas Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak.
Baru hendak mencipta nama, Khairul dan Badrul sudah berdepan cabaran apabila dikritik kerana mengutamakan Sukma yang bertembung dengan tarikh Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Bydgoszcz, bulan depan.
Iklan
Tidak seperti bola sepak yang dimainkan di ceruk kampung seluruh negara, olahraga bukanlah pilihan anak muda hari ini.
Menggilap bakat atlet khususnya dalam acara pecut bukan semudah menaip a, b dan c di papan kekunci.
Bakat yang ada harus diurus dengan baik, takut-takut mereka terkena sindrom cepat bosan, burnout ataupun kecewa dengan senario olahraga negara.
Isu ini menawarkan dua perspektif.
Hakikatnya ada empat atlet layak ke Bydgoszcz – Khairul, Badrul, Rizzua Haizad Muhammad (110m lari berpagar) dan Kirthana Ramasamy (lompat kijang wanita).
Keempat-empatnya dijangka mewakili negeri masing-masing dalam Sukma.
Tiga daripadanya – Khairul, Rizzua dan Kirthana – baru bergelar juara dalam acara masing-masing di Kejohanan Remaja Asia di Ho Chi Minh City.
Adalah wajar jika mereka menaiki setapak lagi dengan menduga kemampuan menentang atlet remaja terbaik dunia di Poland.
Mereka juga boleh bersaing di peringkat Sukma edisi akan datang.
Namun tidak salah jika mereka memilih mewakili negeri atas apa saja alasan – sama ada mahu menyumbang pingat untuk negeri, memburu insentif, mewujudkan profil lebih tinggi, kemuncak latihan periodisasi atau sekadar mahu bersaing di depan penyokong tempatan.
Sebab itu dalam hidup, kita diberi pilihan. Pilihan yang kita buat hari ini akan mempengaruhi masa depan kita. Sudah tentu ada beberapa pilihan yang kita buat salah, disusuli kekesalan. Ada juga keputusan yang kita ambil betul tetapi boleh dibuat dengan cara lain.
Tidak salah untuk menjadi jaguh kampung dengan syarat kejaguhan itu kemudian diketengahkan di persada antarabangsa.
Tidak mustahil keempat-empatnya mencatat rekod kebangsaan di Sukma nanti.
Tidak mustahil juga jika mereka bersaing dan mendapat catatan peribadi terbaik di Poland tanpa diiringi sebarang pingat kerana standard pesaing jauh lebih tinggi. Ia membawa kepuasan berbeza.
Bydgoszcz membawa kenangan bercampur-baur untuk atlet Malaysia sebelum ini.
Pelari berpagar, Muhammad Faiz Muhamad, antara 13 atlet terpilih ke Poland pada 1999. Dia enggan pergi ke temasya Remaja Dunia IAAF di kota itu disebabkan dijadual menghadapi SPM, dan akhirnya gagal mencatat keputusan baik.
Kali terakhir pada 2008 apabila pelari pecut Zaibidi Ahmad mencatat 10.94 saat dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia IAAF.
Elok juga jika ada usaha untuk menukar jadual olahraga di Sukma lebih awal.
Namun tidak salah jika kejayaan di Vietnam cuba diulangi dengan catatan atau jarak terbaik secara peribadi di Sarawak.
Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.
Soalnya sama ada kembara mereka membawa anak muda negara ke Kuching, Bydgoszcz atau kedua-duanya!
Must-Watch Video