Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

Daripada Zon Fokus Ke Zon Bahaya: Burnout Musuh Senyap Atlet Dan Rakyat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

burnout.jpg
Burnout ialah keadaan keletihan melampau yang berlaku apabila seseorang mengalami tekanan (stress) yang berpanjangan tanpa pengurusan yang baik. Gambarajah burnout jelas menunjukkan bagaimana prestasi manusia bergantung kepada tahap tekanan yang dialami. Pada awalnya, sedikit tekanan membantu kita lebih fokus dan produktif, tetapi apabila tekanan terlalu tinggi, ia membawa kepada keletihan, kebimbangan, dan akhirnya burnout.

Gambarajah juga jelas menunjukkan lengkung prestasi. Jika stress terlalu sedikit, seseorang akan jadi pasif, malas dan tidak bermotivasi. Namun, apabila stress berada di tahap optimum, prestasi akan meningkat – seseorang akan jadi lebih produktif, kreatif, dan fokus. Tetapi jika stress berlebihan, prestasi mula menurun. Fasa ini bermula dengan keletihan, kemudian membawa kepada kebimbangan, kemarahan, dan akhirnya keruntuhan emosi.

Melalui gambarajah juga turut menerangkan apa itu, “Zone of Optimal Stress Level”. Jika stress terlalu rendah, individu akan bosan, tidak aktif dan kurang semangat. Stress yang optimum menjadikan seseorang “in the zone” – lebih bersemangat, bermotivasi dan berkesan. Namun, apabila stress melampau, ia menimbulkan rasa panik, cemas, sukar tidur, cepat marah, dan akhirnya burnout malahan boleh hilang minat kepada sesuatu perkara.

Rajah Hans Selye pula menerangkan konsep “General Adaptation Syndrome”. Apabila stress berlaku, badan kita mula memberi tindak balas (alarm). Jika berterusan, badan cuba menyesuaikan diri (adaptation). Tetapi jika stress berpanjangan, badan akan sampai ke tahap “distress” iaitu keletihan fizikal dan mental, sakit, atau terlebih latihan bagi atlet. Pada akhirnya, prestasi merosot dengan mendadak dalam sukan atau kerja. Kaedah latihan dalam sukan membantu atasi plateu dengan mengamalkan prinsip adaptasi, prinsip overload, prinsip kepelbagaian dan lain lain.

Gambar tambahan menunjukkan realiti burnout. Ada individu yang cuba mengatasi tekanan dengan bersenam, ada yang mengalami migrain atau kebimbangan, dan ada juga yang tenggelam dalam bebanan kerja tanpa sokongan. Semua ini memberi gambaran bahawa burnout boleh menyerang sesiapa sahaja – pelajar, pekerja pejabat, ibu bapa, mahupun atlet profesional.

Sejak pasca pandemik COVID-19, isu burnout semakin meningkat kerana ramai yang terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan besar. Ada yang hilang pekerjaan, bekerja dari rumah dengan beban berganda, pelajar belajar secara dalam talian dalam tempoh yang lama, cengkaman hidup yang semakin mencabar akibat kemerosotan ekonomi. Semua faktor ini menambah tekanan yang akhirnya mencetuskan burnout.

Untuk mengatasi burnout, langkah pertama ialah mengenali tanda-tandanya. Jika mula rasa cepat letih, hilang semangat, mudah marah, atau kerja mula terganggu, itu mungkin petanda burnout. Penting untuk memberi masa rehat secukupnya, menjaga tidur, bersenam secara ringan, dan mengamalkan teknik relaksasi seperti pernafasan dalam atau meditasi. Kaedah latihan dalam sukan yang mengutamakan prinsip kepelbagaian dalam latihan juga boleh diamalkan.

Selain itu, sokongan sosial juga sangat penting. Berkongsi masalah dengan keluarga atau rakan boleh mengurangkan tekanan. Majikan pula perlu memahami keadaan pekerja dengan menyediakan suasana kerja yang seimbang. Bagi atlet, jurulatih perlu memastikan program latihan ada ruang untuk terapi dan pemulihan yang berkesan seperti sports massage, hidroterapi dan lain lain. Ringkasnya, burnout boleh dielakkan jika kita bijak mengurus stress, mengimbangi kerja dan rehat, serta menjaga kesihatan mental dengan baik.

Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan Sains Sukan
Universiti Teknologi Malaysia.

 

Advertisement

Must Watch Video