Skip to main content

Rencana

Dank je, Arjen Robben

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

cover-robben.jpg
Belanda terpaksa menelan hakikat bahawa tiada tempat buat mereka di pentas Piala Dunia 2018 susulan prestasi tidak konsisten dalam pusingan kelayakan.

Antara pemain paling kecewa pastinya bintang Bayern Munich, Arjen Robben, apabila mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa, sejurus perlawanan terakhir menentang Sweden yang menyaksikan skuad Oranje menang 2-0 hasil dua jaringan pemain yang pernah diberi jolokan 'The Man Of Glass' itu.



Sejak membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada tahun 2003, Robben tidak pernah gagal menampilkan diri di pentas paling berprestij itu, malah mengharungi dua kempen terakhir Piala Dunia  dengan penamat yang boleh dibanggakan.

Dia dinafikan peluang untuk muncul sebagai juara oleh Sepanyol pada tahun 2010, akibat daripada gol dalam masa tambahan oleh Andres Iniesta, sebelum menamatkan saingan di Brazil di tempat ketiga, empat tahun selepas itu.

Antara jaringannya yang akan diingati oleh semua peminat bola sepak pastinya gol menerusi larian deras ketika menewaskan skuad La Roja 5-1 dalam aksi pembukaan edisi 2014, apabila mencatat masa larian 37 kilometer sejam, sekaligus memegang status pemain terpantas dunia ketika itu.



Dia mengatasi pemegang rekod sebelum itu, iaitu pemain England, Theo Walcott, dengan masa 35.7km/j, dan catatannya itu membuatkan dirinya mampu berlari dalam jarak 100 meter dalam masa 10.28 saat.

Mungkin agak janggal untuk melibatkan Robben dengan aksi di balapan, namun harus diingatkan bahawa bekas pemain Chelsea itu meraih masa sebegitu dalam keadaan memegang bola dan sudah beraksi selama 80 minit.

Bintang berusia 33 tahun itu dikenali dengan gaya permainan yang tipikal, gemar menarik benteng ke garisan tepi padang sebelum meloloskan diri ke bahagian tengah untuk melepaskan rembatan, namun tetap gagal dikekang oleh kebanyakan pertahanan di dunia.



Agak jarang untuk kita temui seorang pemain sayap yang masih mampu mengekalkan kepantasan apabila menjengah usia seperti itu, tetapi Robben membuktikan usia bukan penghalang apabila berjaya mengekalkan tempatnya dalam barisan utama Belanda dan Bayern Munich, menyingkirkan pemain yang lebih muda seperti Douglas Costa dan Kingsley Coman (Bayern Munich) serta Quincy Promes dan Jeremain Lens (Belanda).

Selepas mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2018 yang mengecewakan, aksi Robben di Amsterdam Arena ketika menentang Sweden sudah boleh dijangka bakal menjadi detik terakhirnya bersama skuad kebangsaan Belanda.



Kini Belanda akan merindui sentuhan emas seorang bintang yang sentiasa meninggalkan impak di padang setiap kali turun beraksi dan Robben telah pun meletakkan dirinya sebaris legenda-legenda Oranje sebelum ini seperti Dennis Bergkamp, Ruud van Nistelrooy dan Marco van Basten.

Dank je dan doei-doei, Arjen Robben.

Advertisement

Must Watch Video