Skip to main content

Rencana

Brendan Gan ada di mana-mana

cover-photo-brendan.jpg
Minggu lalu, dia sibuk berulang alik dari Malaysia untuk pulang ke Sydney, Australia, untuk menyambut kelahiran anak lelakinya, Koa Brooklyn.

Namun, tuntutan negara memerlukannya untuk kembali ke kem Malaysia bagi menghadapi aksi pemanas badan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Tajikistan, Sabtu lalu.

Tapi aksi jitunya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi mengundang pujian ramai sehingga tonggak Perak yang hangat dikaitkan dengan Selangor itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Macam ada dua jantung, itu antara pujian yang dilemparkan terhadap pemain berusia 32 tahun itu ketika menunjangi kemenangan 2-1 ke atas pendahulu Kumpulan G, Thailand.

Walaupun ia tidak mengubah hakikat bahawa kedudukan Harimau Malaya di tangga keempat dalam perlawanan keempat pusingan kedua kelayakan itu, namun ia satu detik yang amat penting untuk menyalakan semula api perjuangan skuad negara.


Brendan bagaikan ada di segenap pelosok padang sambil mengotakan janjinya untuk mengikat arkitek Gajah Perang, Chanathip Songkrasin.

Walaupun Chanathip seolah-olah memberi bayangan bahawa gawang anak buah Tan Cheng Hoe itu terlalu rapuh apabila meninggalkan bayangan Brendan untuk membukai tirai jaringan perlawanan.

Tapi situasi itu tidak berkekalan. Giliran pemain yang bangkit dalam dua siri kecederaan lutut serius itu pula untuk berada di kedudukan yang hampir sama sebelum menyudahkan umpanan Syamer Kutty Abba -- yang menerima kritikan pada awal permainan sebelum memperkemaskan permainannya.

Belum puas, dia kemudian muncul wira perlawanan apabila mencipta bantuan gol buat gol kemenangan yang disumbat oleh Mohamadou Sumareh.

Jarang untuk kita melihat jaringan daripada gerakan seperti itu tetapi itulah detik istimewa yang diilhamkannya.

Malah, beberapa kali pemain yang diperkenalkan oleh pasukan Sabah itu menyelamatkan situasi berbahaya ketika kotak penalti negara dicerobohi pemain lawan.

Syabas buat pemain negara. Sememangnya perlawanan kelas A seperti bertemu Tajikistan -- pasukan yang di kedudukan 116 dunia -- memberikan satu persiapan yang baik.

Bagi skuad bimbingan Akira Nishino, jurulatih bernilai RM2.75 juta sebulan itu yang menghalang liputan Nadi Arena di Bangi dua hari lalu, mereka harus menelan satu lagi episod pahit dihantui skuad Malaysia sesudah kegagalan dalam Piala AFF 2018.

Advertisement

Must Watch Video