Skip to main content

Rencana

Boa Sorte, Safawi

safawi.jpg
Selepas Luqman Hakim Shamsuddin, kini Safawi Rasid pula bakal berkelana ke Eropah bersama kelab Primera Liga Portugal, Portimonense SC (Divisyen Utama).

Kelab Johor Darul Takzim (JDT) turut mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi Pengarah Sukan, Martin Prest, mengesahkan Harimau Selatan sudah menerima tawaran rasmi daripada Portimonense untuk mendapatkan khidmat Safawi dan bersedia membenarkan pemain itu meneruskan kerjayanya di Eropah.

Bukan mahu memperkecilkan kemampuan Luqman bersama KV Kotrijk di Belgium, malah penulis turut berharap dia akan berjaya di sana.

Tetapi kalau dibandingkan dengan Safawi, penulis percaya pemain sayap kebangsaan ini tampak lebih bersedia merebut tempat dalam skuad utama kelab barunya nanti.

Safawi sudah beraksi dan buktikan potensinya di peringkat kelab dalam saingan Liga Super bersama T-Team dan kemudian JDT, beraksi dan meraih gol dalam saingan Liga Juara-Juara AFC, merasai kesemua kejuaraan Liga M dalam tempoh empat musim bersama JDT serta turut cemerlang bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Hujah-hujah tersebut cukup kuat untuk membuktikan mengapa penulis berasa pemain berasal dari Dungun itu lebih bersedia menyahut cabaran di Eropah berbanding Luqman.

Namun, Luqman juga mampu berjaya jika dia sedia bekerja keras di Belgium, hanya penulis berasa dia perlukan sedikit masa memandangkan sebelum ini pemain kelahiran Kelantan itu hanya cemerlang di saingan peringkat bawah 19 tahun dan kemampuan di peringkat senior belum lagi teruji.

Penulis pernah beberapa kali membuat liputan berita mengenai Safawi untuk Nadi Arena sebelum ini, daripada seorang pemain muda bersama T-Team dan skuad B-19 negara, hingga menjadi tonggak utama JDT dan kebangsaan.

Di situ penulis dapat melihat bagaimana pemain ini berubah daripada seorang pemain muda yang malu dan sukar bercakap dengan media, kepada seorang pemain yang tampil matang apabila berdepan media.

Di atas padang permainannya juga meningkat dari satu musim ke satu musim dan memang selepas membantu JDT menjulang kejuaraan Piala Malaysia musim lalu, penulis berasa Safawi sudah bersedia untuk menyahut cabaran di peringkat lebih tinggi.

Penulis percaya ia bukan mudah buat mana-mana pemain tempatan yang ke JDT untuk merebut tempat dalam pasukan itu yang dibarisi bakat tempatan dan import terbaik dalam Liga M.

Kemampuan Safawi untuk melakukannya membuktikan dia seorang yang cukup komited dengan kerjayanya sebagai seorang pemain profesional.

Ternyata pengurusan JDT melakukan usaha yang baik dalam membentuk pemain ini yang pada penulis adalah permata bola sepak negara kini.

Penulis percaya, hubungan baik pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dengan ramai dalam kalangan tokoh bola sepak Eropah dan dunia turut memudahkan penghijrahan Safawi.

Kita tidak boleh nafikan JDT kini dikenali di peringkat antarabangsa apabila terdapat kelibat legenda dunia seperti bekas bintang Brazil, Ronaldo, dan bekas bintang Portugal, Luis Figo, hadir menyaksikan perlawanan JDT dalam saingan ACL sebelum ini.

Beberapa tahun lalu, sukar membayangkan legenda dunia seperti Ronaldo dan Figo sanggup datang ke Malaysia menyaksikan perlawanan membabitkan sebuah pasukan tempatan.

Buat Safawi, penulis berharap dia akan mengambil peluang ke Portugal sebaik mungkin dan buktikan, pemain Malaysia juga mampu beraksi di saingan liga utama Eropah.

Penulis percaya pengurusan JDT akan membantu Safawi melakukan persiapan terbaik sebelum ke Portugal dan sudah pasti pemain ini juga perlu mempelajari bahasa Portugis sebelum ke sana bagi memudahkannya berkomunikasi dengan jurulatih serta rakan sepasukan di Portimonense.

Jika Safawi berjaya di Portugal kelak, sudah pasti ia merintis kemungkinan buat lebih ramai pemain negara berkelana ke luar negara, khususnya Eropah.

Boa Sorte ( Selamat Maju Jaya dalam bahasa Portugis) Safawi Rasid!!

Advertisement

Must Watch Video