Apabila Datuk Lee Chong Wei bersara nanti, Malaysia akan meratapi penghujung kepada satu legasi.
Bermakna hilang juga pengaruh seorang ikon buat Malaysia di pentas tertinggi dunia untuk mendukung setiap impian.
Sama ada bersedia atau tidak, persaraan Chong Wei bukan satu kemungkinan tetapi hanya tunggu masa.
Saya lebih berminat untuk mendalami persoalan apakah benar skuad perseorangan lelaki tenat tanpa Chong Wei?
Mungkin itu sesuatu yang keterlaluan tetapi adalah bertepatan dengan status Malaysia sebagai antara kuasa besar badminton dunia.
Untuk tempoh jangka masa pendek Malaysia memiliki saudara Iskandar Zulkarnain Zainuddin untuk menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan utama negara.
Siapa selepas dia? Mungkin ada yang bingung memikirkan apakah Malaysia tidak memiliki langsung bakat untuk diketengahkan.
Memetik analisis Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, dia mengibaratkan skuad perseorangan lelaki negara seperti dalam Unit Rawatan Rapi ICU.
Masalah utama yang saya lihat adalah kesukaran untuk mentransformasikan seorang bakat di pentas remaja ke aksi di peringkat senior.
Soo Teck Zhi Juara Remaja Asia 20013 misalnya, Soong Joo Ven dan Cheam Jun Wei yang menyinar di peringkat bawah umur.
Apakah Juara Kebangsaan 2015 Lim Chi Wing atau prosepk meningkat naik Lee Zii Jia juga terpaksa mengharungi cabaran yang sama?
Memandangkan program Chong Wei tidak lagi menjadi keutamaan, sudah tiba waktu setiap peluang untuk menghantar pemain ke kejohanan luar negara dan peruntukan bagi
kajian sains sukan digunakan ke atas barisan pemain berbakat ini.
Mengenali keperluan memenuhi potensi mereka adalah permulaan buat jurulatih negara seperti Hendrawan dan Tey Seu Bock yang saya percaya berada di bawah tekanan tinggi waktu ini.
Saya akan bersedih apabila Chong Wei bersara nanti, tetapi saya akan lebih kecewa andai tidak ada seorangan pun yang berupaya meneruskan legasinya.