Sepanjang pengalaman penulis menjadi wartawan, pelbagai forum mengenai sukan No 1 negara ini dianjurkan oleh banyak pihak-sama ada agensi kerajaan seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri.
Beza forum kali ini kerana ia memberi ruang kepada pemegang kepentingan yang lain untuk sama-sama membincangkan hala tuju bola sepak negara. Malah ia dianjurkan oleh pencinta bola sepak yang tidak memiliki sebarang jawatan dalam sistem yang ada, dengan disertai 130 peserta. Kemudahan disediakan oleh Institut Sukan Negara (ISN) manakala unit sokongan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) menaja santapan tengah hari.Ringkasnya, lanskap hari ini berbeza dengan senario 20 tahun lalu.
FAM kini melepaskan tugas menganjurkan liga kepada satu syarikat menerusi konsep perkongsian liabiliti terhad, iaitu FMLLP.
Hidupnya semula Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) yang agresif memperjuangkan kebajikan pemain dengan diterajui sekumpulan anak muda berkelulusan dalam bidang perundangan juga membawa dimensi berbeza dalam urus tadbir bola sepak kita.
Satu projek besar yang menjurus ke arah mewujudkan pasukan yang mampu layak ke Piala Dunia Belia FIFA Bawah 17 tahun pada 2019 juga sudah diletakkan batu asasnya menerusi PPBN.
Peminat juga memiliki ruang besar untuk menyuarakan suara mereka menerusi laman sosial, sehingga mereka boleh memutuskan sama ada membuat kacau atau menyokong secara berhemah.
Bertitik tolak daripada situ, akhirnya kelompok pencinta bola sepak yang menggelarkan diri mereka Real Friends mencetus idea satu forum yang menggabungkan suara semua pemegang kepentingan.
Pengarah kanan unit sokongan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar dan pengarah projek, Lim Teong Kim, bercerita mengenai perancangan membabitkan kelompok murid dan pelajar dari usia 7 hingga 17 tahun dan etika kerja jurulatih serta pelaksana.
Kevin Ramalingam pula mengharapkan dia diberi ruang untuk berfikir dan bekerja sebagai ketua eksekutif FMLLP, bukan dari sudut penyokong.
“Berbeza dengan Liga Perdana Inggeris yang diuruskan oleh syarikat berbeza dengan 20 kelab sebagai pemegang saham, FAM memutuskan mewujudkan FMLLP dengan dinaungi FAM dan juga 24 pasukan dan kelab tempatan sebagai pemenang saham.
“Tujuannya ialah supaya kepentingan pasukan negara diambil kira dalam merangka sebarang dasar,” kata Kevin yang menjelaskan antara perubahan ketara dilakukan FMLLP termasuk pertukaran tempoh dua jendela perpindahan pemain Liga M, penajaan pertandingan serta format pertandingan Piala Malaysia serentak dengan liga.
CEO PFAM, Izham Ismail, pula mendedahkan banyak kepincangan dalam hubungan di antara majikan dan pekerja.
Dalam senarai masalah dan kepincangan yang diselitkan dalam Buku Hitam Bola Sepaknya, Izham mendedahkan 32 pemain menjadi mangsa keganasan, 73 pemain didapati menanda tangani dua kontrak dengan pasukan berbeza, 83 kes gaji tertunggak, 57 pemain dipaksa berlatih dengan kelompok pemain lain disebabkan mahu meninggalkan pasukan manakala 21 pemain tidak mendapat perbicaraan yang adil.
“Jawatankuasa Status FAM juga bertindak amat perlahan, bahkan adakalanya mengambil masa 100 hari untuk membicarakan satu kes, belum lagi menyelesaikannya,” kata Izham.
Dalam sesi perbincangan dengan Hafizal Hamad selaku moderator, bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor, bekas pemain pra-Olimpik 1995, Hasnizam Uzir, bekas pengadil dan jurulatih, Nik Ahmad Yakub, orang kuat Ultras Malaya, Alfadli Awaludin dan Izham serta Datuk Richard Scully mendedahkan bahawa kelemahan manusiawi antara faktor yang menghalang kemajuan dicatat dalam waktu yang pantas.
Antara masalah dan kekangan:
# silibus kejurulatihan yang harus dikemas kini
# pendekatan dan sikap yang tidak profesional dalam kalangan semua penggiat
# tiada integriti dan keluhuran menjalankan tanggungjawab, misalnya isu pilih bulu, soal individu pengurusan dibayar oleh pemain secara bulanan,
# tiada misi dan visi jelas daripada FAM selaku badan induk
Turut menyuarakan pendapat dari tempat duduk peserta ialah bekas pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab Rahim, bekas pemain era 80-an Azlan Johar dan K. Gunalan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, mencerminkan keterbukaan badan induk itu dalam menerima teguran dengan menawarkan tempat kepada Alfadli untuk sama-sama menyumbang idea.
Dalam terlalu banyak aspek negatif yang dilontarkan, ada unsur positif yang terserlah.
Dengan golongan muda yang berilmu mula diberi ruang merencanakan hala tuju bola sepak negara, industrinya harus kekal relevan.
Sekalipun prosesnya agak perlahan apabila wujud pertembungan kaedah kerja tradisional dengan etika kerja profesional, bola sepak negara sudah mengambil langkah pertama ke arah satu transformasi. Jatuh bangunnya harus ada.
Soalnya sama ada kita ada kesabaran atau tidak untuk menunggu hasilnya,