Skip to main content

Rencana

Berikan Kofi peluang

kofi-kingston.jpg
Kofi Kingston, satu nama yang bukan baharu di kalangan peminat gusti profesional. Sebut sahaja namanya, pasti para peminat akan terbayang ketangkasan dan aksi terbang tingginya di samping senyuman mesra yang tidak pernah lekang dari bibirnya.

Biarpun tidak memiliki fizikal seorang ahli gusti yang berotot kekar dan hanya memiliki persona yang ‘biasa-biasa’ sahaja, namun jejaka kelahiran Ahanti, Ghana ini tidak boleh dipandang enteng. Letakkan siapa sahaja untuk menjadi lawannya. Pasti beliau mampu mencorak perlawanan tersebut amat menarik dan menghiburkan.

Rekod kejuaraan bintang berusia 37 tahun ini sudah cukup untuk menjadi bukti. Sejak menyertai roster utama WWE pada awal 2008, telah banyak kejuaraan berprestij dirangkulnya. Beliau telah bergelar Juara Antara Benua sebanyak 4 kali, Juara Amerika Syarikat sebanyak 3 kali, Juara Regu Dunia sekali (bersama CM Punk), Juara Beregu Raw sebanyak 4 kali (bersama Evan Bourne, R-Truth dan New Day) dan Juara Beregu Smackdown sebanyak 3 kali juga bersama New Day.



Kofi juga merupakan bintang yang sentiasa ditunggu-tunggu setiap kali berlangsungnya perlawanan tempur raksasa Royal Rumble. Selama bertahun-tahun, ada sahaja aksi dan helahnya yang menghiburkan untuk mengelak kedua tapak kakinya mencecah lantai supaya tidak tersingkir. Kerana itu tidak hairanlah mengapa Kofi sentiasa dekat di hati peminat.

Namun sayang sekali. Biarpun telah lebih sedekad memerah keringat serta membanting tulang dalam gelanggang WWE, namun nama Kofi masih kekal underrated dan tidak mendapat perhatian sewajarnya biarpun merupakan seorang bintang berbakat besar. Barangkali kerana berat badannya yang hanya 96 kilogram (212 paun) dan bukan seorang heavyweight. Justeru, namanya hanya memenuhi perlawanan-perlawanan bertaraf mid-card dan jarang diberi peluang untuk menjadi seorang bintang berkelas main eventer.

Mujur pada Julai 2014, Kofi digandingkan bersama dua lagi bintang hebat iaitu Xavier Woods dan Big E, seterusnya membentuk trio The New Day. Walaupun pada asalnya gagasan ini tidak berapa mendapat perhatian dan terpaksa menukar imej mereka kepada pasukan berhaluan kiri beberapa bulan kemudian, namun perubahan sikap kepada lebih nakal itu menjadi formula yang amat menjadi. New Day menjadi begitu popular dan peminat semakin menyebelahi mereka. Ia sekaligus meletakkan mereka di kelas yang tersendiri sehingga dilantik sebagai juruacara rasmi acara WWE Wrestlemania 33 pada dua tahun lalu.



Setelah bertahun-tahun terperangkap dalam persona riang ria bersama New Day, imej Kofi kekal underdog dan seakan tidak bergerak ke hadapan. Mujur pada 12 Februari di acara WWE Smackdown Live yang lalu, bintang 205 Live Mustafa Ali tidak dapat menyertai perlawanan Elimination Chamber akibat kecederaan, dan Kofi dipilh untuk mengisi slot yang ditinggalkan Mustafa.

Kofi ternyata tidak mempersia-siakan peluang tersebut. Ia ibarat diberi sebuah ruang untuk membuktikan potensi tersembunyinya selama ini. Bermula sebagai peserta pertama dalam perlawanan berangkai (gauntlet), Kofi berjaya bertahan lebih dari sejam, malah beberapa bintang utama yang turut terlibat dalam perlawanan tersebut juga kecundang di tangan Kofi. Jeff Hardy, Samoa Joe dan Juara WWE Daniel Bryan sendiri tidak mampu mendepani Troble in Paradise yang dibawa oleh bintang yang mempunyai latar belakang seni pertahanan diri Brazil, Capoeira ini.

Melihatkan persembahan Kofi di perlawanan Elimination Chamber semalam, tidak dapat dinafikan yang Kofi sememangnya layak untuk menempatkan dirinya di puncak rantaian makanan khususnya di Smackdown. Setelah Samoa Joe, Jeff Hardy, AJ Styles dan Randy Orton yang sebelum itu dinamakan sebagai peserta pilihan untuk merampas Kejuaraan WWE daripada Daniel Bryan, siapa sangka Kofi satu-satunya yang dapat bertahan dan memberikan tentangan hebat kepada Bryan yang semestinya tidak menyangka bahawa Kofi mampu sampai ke tahap itu.



Biarpun tewas, namun Kofi berjaya mencuri perhatian peminat gusti seluruh dunia. Namanya disorak oleh hampir seluruh peminat di dalam arena semalam dan mengatakan yang beliau sememangnya layak. Setelah sekian lama berada di ‘kerusi belakang’, kini tiba masa untuk Kofi pula menjadi nakhoda mengemudi lanskap WWE di tahun baharu 2019 ini.

Para peminat sudah tentu mengidamkan wajah baharu pula mengisi pentas perebutan Kejuaraan WWE. Bukan ingin menidakkan kelayakan bintang lain seperti AJ Styles, Joe dan lain-lain, namun ini merupakan saat paling sempurna untuk mengangkat Kofi sebagai individu yang layak menggalas tugas bagi menghentikan propaganda dan dominasi Daniel Bryan.

Acara Smackdown Live minggu ini sudah tentu amat ditunggu-tunggu. WWE Universe pasti ingin mengetahui adakah Kofi akan terus diberikan peluang untuk menyinar dan mampu menjadi pencabar utama kepada Bryan di acara Wrestlemania kelak. Bayangkan momen Kofi berjaya membenam Daniel Bryan. Bukan sahaja berjaya sebagai Juara WWE setelah sekian lama. Malah Kofi akan melakar sejarah sebagai bintang Afrika-Amerika pertama menjulang kejuaraan berprestij tersebut.

Ia sudah pasti akan mencipta detik bersejarah Wrestlemania. Mengulangi sejarah bagaimana Daniel Bryan yang mencipta kegemilangan yang sama di acara Wrestlemania XXX pada tahun 2014. Menjulang Kofi tidak memerlukan New Day terbubar. Woods dan Big E yang selama ini berdiri teguh di belakang Kofi boleh terus memeriahkan divisyen regu dan berusaha untuk bergelar juara buat kali keenam. Kofi pula diangkat sebagai Juara WWE dan ia pasti akan mengukuhkan legasi New Day dalam lipatan sejarah.

Jauh di sudut hati, penulis pasti yang Kofi sendiri amat mengidamkan saat-saat itu. Tiada visi dan misi lain untuk seorang bintang WWE melainkan ingin beraksi di pentas utama Wrestlemania dan bergelar Juara WWE. Dan ia hanya akan menjadi angan-angan kosong sekiranya pihak berautoriti WWE tidak memberikan restu dan lampu hijau untuk bapa kepada dua anak ini menggapai impiannya.

Semoga WWE sedar akan hakikat ini dan memberi peluang sewajarnya buat Kofi.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Fastlane pada 11 Mac depan dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Advertisement

Must Watch Video