RENCANA
Beri ruang buat RMS, pengurusan baru laksana perubahan
Belum lagi saingan Liga M musim 2019 bermula malah saingan final Piala Malaysia musim ini juga belum berlansung, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kembali mencuri tumpuan.
Namun, ia bukan mengenai usaha memantapkan pasukan tetapi kepada usaha menggagalkan pembaharuan yang ingin dilakukan Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah buat persatuan itu.
Tengku Amir pada Jumaat mengeluarkan kenyataan rasmi menempelak segala dakwaan yang ditimbulkan beberapa ahli gabungan FAS dalam memorandum untuk mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM).
Iklan
Antara perkara utama yang dibangkitkan dalam memorandum tersebut adalah pelantikan Izhar Moslem dan Dr Johan Kamal Hamidon yang juga Setiausaha Agung FAS sebagai Naib Presiden FAS.
Dalam kenyataan Tengku Amir, baginda menjelaskan pelantikan dua individu tersebut tidak melanggar peruntukan Artikel 34.7 Statut FAS seperti yang didakwa mereka yang terbabit dengan memorandum tersebut.
Memorandum tersebut mendakwa Izhar dan Dr Johan bukan ahli mana-mana kelab gabungan FAS, sedangkan kedua-dua mereka sudah menjadi ahli sebuah kelab gabungan sebelum mengisi kerusi Naib Presiden FAS pada 10 Julai lalu.
Pada pengamatan penulis, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku ketika FAS di bawah pimpinan Tengku Amir kini sedang berusaha keras melakukan perubahan positif buat persatuan itu.
Izhar dan Dr Johan sebelum ini turut terbabit dengan penganjuran saingan amatur Selangor Champions League (SCL) tahun lalu yang turut diterajui sendiri Tengku Amir.
SCL mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat Selangor meskipun ia hanya kejohanan bertaraf amatur.
Sememangnya ia adalah tugasan berbeza mengendalikan sebuah kejohanan amatur kepada mentadbir persatuan seperti FAS.
Namun, Tengku Amir tampak sudah melakukan kajian mendalam terhadap Statut FAS dan segala perubahan yang dilakukan dalam persatuan itu mengikut saluran yang betul.
Penulis turut difahamkan, kedua-dua Izhar dan Dr Johan kini turut berusaha keras mencari tajaan dan dana untuk mengukuhkan lagi pentadbiran FAS.
Meskipun mendapat sokongan kerajaan negeri,pucuk pimpinan FAS kini tetap berdikari mencari kaedah terbaik membolehkan FAS tidak hanya bergantung kepada dana kewangan kerajaan negeri di masa depan.
Bagi penulis, FAS kini di landasan tepat untuk melaksanakan perubahan dan sememangnya kesemua ahli gabungan FAS wajar memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tengku Amir.
Setiap kelab ahli gabungan FAS perlu bersedia menerima perubahan seperti yang diminta Tengku Amir apabila baginda setuju menerajui FAS.
Penulis percaya segala perubahan yang ingin dilaksanakan baginda bukan untuk tujuan peribadi, tetapi demi bola sepak Selangor, peminat setia mereka dan demi mengembalikan reputasi Gergasi Merah sebagai antaran pasukan terbaik Liga M.
Sememangnya bukan mudah buat mana-mana pasukan tempatan menyamai kejayaan yang dicapai Johor Darul Takzim (JDT) hari ini.
Kejayaan JDT adalah kerana pendekatan berani Tunku Ismail Sultan Ibrahim melaksakan revolusi bola sepak Johor pada 2013 dan juga kesediaan negeri itu terhadap perubahan yang dilakukan baginda .
Kini mereka menjadi contoh terbaik buat pengurusan pasukan lain yang ingin laksanakan perubahan.
Sudah pasti peminat setia Selangor mahu melihat pasukan kesayangan mereka berupaya memberikan cabaran kepada JDT di masa depan.
Namun, untuk ia berlaku Tengku Amir perlu diberi ruang dan peluang untuk melaksanakan perubahan dalam FAS.
Must-Watch Video