Tajuk klise tapi sedap untuk berkongsi cerita ini. Saya harap pembaca tidak menilai keseluruhan intipati garapan penulis dengan hanya membaca tajuk, nanti tak faham - kesian.
Pada Isnin (26 Disember 2016) saya memanggil pelumba motorcross negara, Muhamad Habibullah Mohd Salleh (Gabit) sebagai tetamu di konti Radio Arena.
Seorang yang sangat ceria dan menghiburkan. Tidak kering gusi saya sepanjang temubual bersama anak muda dari Sungai Buaya, Rawang ini. Sehinggakan waktu berlalu tanpa saya sedari, saya sudah melepasi jam
ke 4 yang sepatutnya saya ke udara.
Tetapi ada kisah yang sangat menarik perhatian walaupun tidak seharusnya menjadi ikutan.
Gabit dilahirkan dalam sebuah keluarga besar. Dia merupakan anak ke-10 daripada 11 adik-beradik yang dimonopoli gen lelaki. Saya cuba menduga Gabit untuk menyebut nama kesemua nama adik adik beradiknya dengan umur - nyata Gabit gagal dalam kelucuan.
Zaman kanak-kanak Gabit penuh dengan kenakalan yang melanggar pantang-larang ibu bapa.
Seawal usia 10 tahun, Gabit sudak terjebak dengan gejala ponteng sekolah. Dia mengambil kesempatan ketiadaan ibu bapanya, yang ketika itu merupakan peniaga ikan yang seharian tiada di rumah.
Tetapi tujuan utamanya ponteng sekolah ialah kerana salah seorang abangnya, Mohd Amirul Asy-Syahid Mohd Salleh (Gaban).
Gaban yang lebih senior 6 tahun ketika itu merupakan jaguh dalam pembikinan dalam sukan Cub Cross, sezaman Suhadi Ali Rahmat. Jadi, Gabit lebih teruja untuk menonton abangnya berlatih daripada mengadap guru dan buku di sekolah.
Dialah yang mengheret cangkul untuk membantu abangnya membetulkan trek buatan sendiri. Dan ketika itulah Gabit belajar dari pemerhatian - tanpa guru bertauliah.
Masa remajanya banyak dihabiskan dengan aktiviti motorcross dan Gabit membesar tanpa sebarang kelulusan sebagai seorang pelajar.
Memang dia seorang yang bebal di zaman remaja, penuh berlumpur dan nakal. Tetapi bakat yang dimiliki mengatasi segalanya.
Bermula sebagai pelumba Cub Cross, dengan meminjam motosikal abangnya, Gabit mengoyak waktu dengan lembaran baru sebagai pelumba.
Hampir semua siri perlumbaan dijelajahinya bersama Gaban yang ketika itu merupakan pelumba motocross nombor 1 negara. Dan keluarga mendorong dengan pelbagai sokongan termasuk kewangan.
Gabit menarik perhatian penaja yang membawanya mengatasi pencapaian abangnya. Dia mula menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa pada usia 17 tahun.
Bertubuh kecil tetapi Gabit langsung tidak memiliki rasa takut. Dia mencabar sesiapa di litar termasuk pelumba handalan Australia, Jepun, New Zealand, Amerika Syarikat, Rusia dan Filipina yang jauh lebih senior.
Akhirnya segala pengorbanan yang telah dilakukan termasuk 'mengorbankan' waktu persekolahan dibayar dengan kejayaan besar yang tidak mampu dibeli dengan wang dan kekayaan.
Gabit telah ditabal selaku Juara keseluruhan Kejuaraan FIM Asia SuperMoto 2016 yang baru berakhir di Shah Alam pada 18 Disember lalu.
Dalam laluan untuk bergelar juara, Gabit menewaskan jagoan New Zealand - Richard Dobben, Amerika Syarikat - Lewis Cornish serta pelumba handalan Australia - Andy Mc Liesh.
Walaupun dia bebal tetapi Gabit adalah juara Asia!