RENCANA
Bayar sajalah United!
Spekulasi perpindahan melibatkan pemain tengah Sporting Lisbon, Bruno Fernandes, dan Manchester United menjadi perhatian media sejak musim panas lalu.
Perpindahan itu seolah-olah bakal menemui kata putus yang menggembirakan semua peminat The Red Devils apabila legenda Old Trafford, Rio Ferdinand, menuliskan ciapan 'Bruno' di laman Twitter peribadinya, 11 Januari lalu.
Malah, tindakan ejen Fernandes, Rui Guimaraes, menekan butang 'Like' buat ciapan Ferdinand itu menambahkan lagi kebarangkalian untuk pemain tengah Portugal itu menyarung jersi United sebelum dia memadamkan akaun Twitter tersebut.
Iklan
Lebih dua minggu kemudian, Fernandes masih belum bergambar memegang jersi United dan ia bermakna berita perpindahan itu kekal dengan status khabar angin.
Khamis lalu, Presiden Sporting, Frederico Varandas, dan seorang lagi ejen, Jorge Mendes, terbang ke Manchester untuk perbincangan seterusnya tetapi penyelesaian tetap tidak dapat dicapai.
Menurut Teamtalk.com, ia disebabkan keengganan Sporting melepaskan Fernandes kurang daripada harga 70 juta Euro sambil Red Devils masih mengharapkan 55 juta Euro berserta tambahan bonus 10 juta Euro dapat memikat Varandas.
Seperti yang dilaporkan media Portugal, Record, United kini bercadang untuk menggandakan tawaran kepada 73 juta Euro, termasuk semua kos bonus di masa akan datang.
Melihat prestasi United bimbingan Ole Gunnar Solskjaer ketika ini, mungkin mereka perlu patuh dan bayar sahaja mengikut permintaan Sporting, sekurang-kurangnya untuk melegakan hati peminat United di seluruh dunia.
Must-Watch Video