Skip to main content

Rencana

Bangun Harimauku bangun.. ​

44335546_1870869846343104_1757976624453648384_o.jpg
Lupakan segera kekalahan 1-2 kepada Arab Saudi dan jadikan medan kedua pertarungan Kejohanan AFC Bawah 19 tahun berdepan Tajikistan sebagai titik tolak kebangkitan.

Jangan gentar kepada lawan walaupun mereka masih segar dengan kemenangan penting atasi China 1-0 kerana setiap pasukan mesti ada kelemahan yang boleh dipergunakan.

Jika memandang kekuatan dimiliki Tajikistan semata-mata seperti mana terpamer bertemu China , kelak ia boleh burukkan psikologi pemain negara sebaliknya tumpukan kepada persiapan sendiri serta perbaiki kelemahan yang ada.

Penulis tidak mahu ulangi apa diperkatakan ketua jurulatih, Bojan Hodak, yang skuad ini ada kelemahan ketara daripada segi teknikal tetapi cuma harapkan semangat demi harumkan nama negara jadi panji serta azimat dalam setiap jiwa pemain mampu atasi segala kekurangan yang ada.

Jika dua aspek utama iaitu kurangkan kesilapan dan jangan bazirkan peluang mampu terjadi pada aksi dengan Tajikistan pada Selasa ini (23 Oktober 2018), skuad negara mampu akhiri perlawanan dengan senyuman.

Diharapkan pemain-pemain utama seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat, K. Thivandaran dan Akhyar Rashid mampu berada di tahap kecergasan terbaik selepas alami sedikit kecederaan pada pertemuan dengan Arab Saudi.

Kehadiran Nik Akif dan Akhyar cukup mustahak kepada skuad negara kerana pada mereka terletak kunci membentuk serangan sambil harapkan Hadi Fayyadh Abdul Razak akan terus temui sentuhan jaringan.

Bahagian pertahanan dikemudi ketua pasukan, Syaiful Alias bersama Shivan Pillay Asokan, Ahmad Tasnim Fitri dan Anwar Ibrahim juga kena perkemas lagi persefahaman sesama sendiri agar tidak lagi berlaku kesilapan yang buka ruang kepada lawan dapatkan jaringan-jaringan mudah.

Mungkin terlalu tinggi impian mahu lihat skuad ini layak ke Piala Dunia Bawah 20 tahun di Poland pada 2019 tetapi apa sahaja terjadi, semua peminat bola sepak negara pasti doakan satu perkara iaitu mahu mereka pulang dengan ada satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Setidak-tidaknya lakar satu kemenangan bagi perbaiki rekod tanpa kemenangan dalam kejohanan ini sejak menang ke atas Nepal pada 2004 atau cuba cari tempat ke suku akhir, iaitu menyamai pencapaian dilakar skuad abang mereka pada Kejohanan AFC Bawah 23 tahun di China.

Buat pahlawan-pahlawan muda negara, berjuanglah habis-habisan pada perlawanan kedua seperti tiada hari esok!

Advertisement

Must Watch Video