RENCANA
Ayuh Jang! Jangan membongak lagi..
Ketika penulis baru memulakan karier selaku wartawan sukan pada 2010, Negeri Sembilan merupakan lawan yang cukup digeruni pada detik itu selain Kelantan.
Muncul juara Piala FA pada tahun berkenaan selain membawa Piala Malaysia pada 2009 dan 2011, ramai sangkakan legasi Negeri Sembilan mampu diteruskan lagi pada jangka masa lama.
Dibarisi gandingan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha, Shahurain Abu Samah, S. Kunanlan dan Farizal Marlias yang dianggap permata baru dalam bola sepak negara, Negeri Sembilan mampu pertahankan jagoan mereka sekiranya ada upaya kekalkan semua pemain tersebut.
Iklan
Namun, iklim bola sepak di negara ini sukar dijangka dan tawaran lumayan diberikan beberapa pasukan, semua pemain ini lama kelamaan ucapkan selamat tinggal kepada Negeri Sembilan.
Tahun 2013, bermulalah era kemerosotan skuad Hobin Jang Hobin di persada bola sepak negara apabila mereka akhiri kempen Liga Super di tangga tercorot selain tersingkir pada saingan peringkat kumpulan di Piala Malaysia dan suku akhir Piala FA.
Dua musim di Liga Perdana tiada banyak bezanya buat Negeri Sembilan apabila gagal berada dalam kalangan empat pasukan terbaik Liga Perdana dan tidak mampu tempatkan diri antara 16 pasukan yang bersaing di Piala Malaysia.
Paling kecewa sudah tentu musim 2015 apabila dibarisi ramai pemain berstatus bintang dan berpengalaman, Negeri Sembilan layu pada pertengahan musim dan gagal beri saingan pada kedudukan dua tempat teratas.
Apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Utama Mohamad Hassan lakukan rombakan besar-besaran hadapi penghujung musim ini dengan bawa masuk ramai pemain muda, penulis nyata amat bersetuju.
Elemen kesegaran yang disuntik di samping bawa masuk hanya beberapa pemain pengalaman seperti Afiq Azmi, Syed Adney Syed Hussein dan Nasriq Baharom bagi keseimbangan pasukan, Negeri Sembilan ada pakej kejutan hadapi musim 2016.
Cuma kehadiran empat pemain import semuanya berasal dari Australia cetus sedikit tanda tanya tambahan berasal dari tempat sama dengan jurulatih, Gary Michael Phillips.
Walaupun begitu, satu aspek positif boleh dilihat melalui pengambilan import dari negara sama ialah memudahkan komunikasi di atas padang sesama pemain dan jurulatih selain sistem pendidikan bola sepak Australia tidak jauh beza dengan negara ini.
Ada satu perkara menarik perhatian penulis pada sidang media Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Negeri Sembilan, 12 Januari lepas ialah kata-kata Mohamad Hasan.
``Pemain yang dulu datang, perkara pertama keluar daripada mulut mereka.. berapa gaji? Situasi itu berbeza pada musim ini, mereka tanya ada tempat tak hendak main musim ini?.
Harap Negeri Sembilan tidak kecewakan lagi peminat-peminatnya pada musim ini selepas dua musim di Liga Perdana dan jangan `membongak' lagi...
Must-Watch Video