Skip to main content

Rencana

Atlet pun boleh sakit ke?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rikako-ikee.jpg
“Baik jangan bersukan, atlet pun dapat penyakit jugak”.

Jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei, diserang kanser hidung dan baru-baru ini, selebriti sukan renang Jepun, Rikako Ikee, mengalami leukemia. 

Berita buruk sebegini mengukuhkan persepsi sesetengah masyarakat yang tidak suka bersukan. Bagi mereka bersenam atau bersukan sekalipun tidak boleh elak dapat penyakit. 

Mungkin mereka mempunyai kebenaran namun penulis membantah sama sekali pandangan itu kerana bersukan tidak semestinya dapat mempertahankan seseorang individu sihat 100 peratus, tetapi ia dapat mengurangkan kebarangkalian mendapat penyakit. 

Selain itu, jangan lupa sukan itu platform perpaduan, membentuk karakter diri dan kekuatan mental. 

Ya, penulis setuju ramai yang terkejut bagaimana seorang atlet yang begitu tinggi tahap fizikalnya seperti pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik, Chong Wei, boleh mendapat kanser. 

Rikako, perenang berusia 18 tahun yang merupakan prospek pingat emas temasya 2020 Jepun dan menggondol enam pingat emas dalam Sukan Asia 2018 termasuk muncul atlet wanita pertama mendapat pengiktirafan sebagai Atlet Terbaik Sukan Asia 2018, amat terkejut dia mendapat leukemia. 

Jadi kenapa ia boleh berlaku kepada atlet elit? Bukankah mereka sepatutnya sentiasa sihat?

Untuk mendapatkan pandangan daripada pakar, penulis bertanya kepada Profesor Madya Dr. Abdul Halim Mokhtar, pakar perunding perubatan sukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) yang pernah berkhidmat untuk pasukan bola sepak dan badminton negara.

1.Ingatkan atlet elit tidak akan dapat penyakit kronik seperti kanser dan leukemia? 
Dr. Halim: Ada penyakit kronik berlaku kerana sebab tertentu dan ada yang tiada yang dikenali ‘Idiopathic’ (tidak ketahui).
Ia boleh berlaku kerana sistem imun yang rendah dan mungkin daripada sejarah perubatan keluarga. 

2. Kenapa penyakit ini boleh menyerang atlet elit yg dianggap individu yang paling sihat?
Dr. Halim: Ia boleh berlaku kepada sesiapa pun dan ditakdirkan ia berlaku kepada dua atlet elit ini yang juga seorang manusia. 
Tidak benar dengan persepsi atlet terdedah dengan kebarangkalian untuk mendapat penyakit kronik. Sebenarnya bersukan akan mengurangkan kebarangkalian mendapat penyakit. 

3. Kesannya kepada atlet yang menghidapi penyakit ini?
Dr. Halim: Bergantung kepada peringkat dan jenis penyakit kronik. Jika dikesan terlalu lewat, seperti individu yang lain ia mungkin terlewat untuk diselamatkan. Atlet adalah seseorang yang cukup yakin dan mempunyai tubuh badan yang sihat pasti terkesan daripada segi fizikal, psikologi dan emosi kerana berasa badan lemah, cepat penat, berlaku perdarahan dan termasuklah pengurangan berat badan yang drastik.  

4. Peratusan untuk atlet kembali beraksi.
Dr. Halim: Sukar untuk diberi jawapan kerana setiap individu mempunyai tahap ketahanan imun yang berbeza. Juga tahap kekuatan mental untuk berjuang mengatasi berita buruk ini.
Perkara pertama yang saya akan fokus adalah bagi memastikan atlet itu mendapat rawatan yang sesuai secepat mungkin dan kemudian barulah melihat sama ada atlet itu boleh kembali beraksi. 
Walaupun sudah sembuh, kemungkinan penyakit itu boleh kembali khususnya kanser. 

Apapun, bersukan banyak faedahnya namun masyarakat perlu faham ia tidak semestinya membasmi penyakit sama sekali. Kebarangkalian seseorang mengdidapi penyakit berkurangan jika aktif bersukan.

Oleh itu, teruslah aktifkan diri. 
 

Advertisement

Must Watch Video