Skip to main content

Rencana

Atlet contract bridge pun layak?

bridge.jpg
Saya menyambut baik usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan Skim Khas Kesihatan Atlet Negara untuk menjaga kebajikan atlet dan bekas atlet.

Skim ini bermakna, mereka akan menerima rawatan kelas kedua seperti kakitangan kerajaan.

Soalnya bagaimana KBS, Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia mengenalpasti mereka yang layak?

Ini soal dana kerajaan.

Andai kos rawatan mencecah puluhan ribu ringgit, adakah kerajaan mampu menanggung mereka semua? Siapa mereka? Adakah mewakili negara pada satu kejohanan atau temasya sudah dianggap atlet negara?

Saya tidak memusuhi sesiapa, cuma berharap pihak terbabit menerangkan dengan jelas mengenai perkara ini.

Contohnya atlet contract bridge. 

Mereka menyertai Sukan Asia Indonesia 2018, kali pertama acara itu dipertandingkan. Malaysia pulang awal selepas mengalami beberapa siri kekalahan, namun realitinya, mereka sebahagian daripada kontinjen negara.

Mereka makan, tinggal dan meluangkan masa bersama atlet negara.

Mereka menyertai upacara pembukaan dan penutup temasya, menyarung jersi negara dan mengeluarkan kos sendiri demi Malaysia.

Cuma, mungkin itu penampilan pertama dan terakhir mereka pada sukan bertemasya.

Jadi bagaimana? Adakah mereka dikelaskan sebagai atlet negara? Adakah mereka layak menerima semua bantuan menerusi Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan atau Skim Khas Kesihatan Atlet Negara?

Bukan contract bridge saja, ada beberapa atlet yang khidmat mereka jarang diperlukan pada sukan bertemasya seperti jetski, luncur air dan akan datang, hoki dalam air.

Semua berjuang untuk negara tetapi wajarkah mereka menerima semua bantuan seperti atlet yang berlatih dan menyertai kejohanan sepanjang tahun?

Keputusan perlu dibuat dengan tepat.

Saya tidak memusuhi sesiapa, cuma menarik untuk mengetahui adakah mereka dikelaskan sebagai atlet atau bagaimana?  

Advertisement

Must Watch Video