Skip to main content

Rencana

Apabila Safawi tenung mata Chanathip…

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mastha-cover-(1).jpg
Harus ia satu pemandangan yang jarang sekali dapat disaksikan, namun ia amat mengesankan. Perihal Safawi Rasid dan Chanathip Songkrasin bertarik-tarikan berhampiran garis tepi padang yang disusuli pertikaman lidah singkat, tersirat pelbagai makna.
 
Seorang adalah bintang besar pasukan Thailand yang sedang mencipta nama bersama kelab Liga Jepun, Hokkaido Consadole Sapporo, sejak 1 Februari lalu dengan nilai pasaran €2.2 juta (RM10 juta) sambil seorang lagi adalah pemain sayap terhangat di pasaran di Malaysia – dengan kejayaan terbarunya selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) di samping Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 malam ini.
 
Hakikat bahawa Safawi, 22, sudah boleh menenung mata Chanathip, 26, sambil melontarkan kata-kata membayangkan pemain kita tidak sesekali berasa kerdil sekalipun ketika bersemuka dengan seorang superstar negara jiran itu.
 
Itulah juga yang menjadi kesudahan cerita di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi apabila Thailand – di ranking ke-109 dunia – dikerah menelan egonya sendiri apabila dikirim pulang dengan kekalahan 1-2 dalam pertemuan Kumpulan G, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.
 
Ia memanjangkan rekod buruk Thailand yang tidak pernah menang dalam empat perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, yang sebaliknya berkesudahan dua seri dan dua kalah.
 
Di samping itu, ia turut tercatat sebagai kekalahan pertama Akira Nishino selepas lima perlawanan sejak bekas pengurus skuad Piala Dunia Jepun 2018 itu mula mengemudi skuad Gajah Perang itu Julai lalu.




Berbalik kepada insiden Safawi-Chanathip itu, ia bermula apabila Safawi lebih dahulu mencuri bola dari kaki Chanathip pada minit ke-35, dengan pemain Harimau Malaya itu mungkin tersepak sedikit kaki pemain lawan berkenaan.

Kemudian, daripada satu hantaran ke belakang apabila Syahmi Safari melorongkan semula bola kepada Safawi, Chanathip kelihatan meluru ke arahnya dan berlaku perebutan, bertolak-tolak dan bertarik-tarikan berhampiran garis tepi padang.

Chanathip dirakam mengeluarkan kata-kata kepada pemain Malaysia itu yang turut menunjukkan reaksi sebelum dileraikan pengadil yang memberikan kedua-duanya amaran lisan.

Barangkali ini termasuk juga apa yang dimaksudkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, bahawa semangat juang sebenar dan enggan menyerah kalah menjadi faktor kekuatan Harimau Malaya – yang tidak mempunyai sebarang pemain yang beraksi dalam liga di luar negara.



Sebagai perbandingan, Thailand harus menampilkan dua lagi pemain dari Liga J malam tadi -- Theerathon Bunmathan (Yokohama F. Marinos) dan Thitipan Puangchan (Oita Trinita) – yang bagaimanapun dinafikan khidmat mereka oleh kecederaan dan penggantungan.

Kalau masih ingat, Brendan Gan, yang menjadi pemain terbaik perlawanan malam tadi, turut menyerlahkan perwatakan kental yang tidak mudah diperkotak-katikkan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil, 10 September lalu.

Gara-gara provokasi Ali Ahmed Mabkhout, dalam satu situasi sepakan sudut, Brendan menghantuk
kepala penyerang nombor 7 UAE itu sebagai menunjukkan isyarat tiada pemain negara yang harus dipandang rendah.

Namun, andai barisan Cheng Hoe itu masih di awang-awangan ketika ini, mereka harus kembali fokus untuk tugasan berikutnya berdepan Indonesia di venue yang sama Selasa ini.

Cemerlang menundukkan Thailand, mereka dituntut untuk cemerlang juga bagi mengulangi kemenangan ke atas skuad Sang Garuda itu.

Dengan perwatakan kental seperti diserlahkan Brendan dan Safawi di samping rakan-rakan sepasukan yang tidak mengenal erti berputus asa dengan bangkit daripada ketinggalan untuk mengukir kemenangan bermakna ke atas Thailand, apa ada hal.




 

Advertisement

Must Watch Video