Skip to main content

Rencana

Apa nasib polo air selepas Sukan SEA?

13817poloair.jpg
Tidak banyak rasanya sejarah mengenai polo air negara mampu diceritakan di Sukan SEA memandangkan sukan ini sentiasa menjadi milik Singapura yang merupakan kuasa besar di rantau ini.

Tambahan skuad lelaki Singapura tidak pernah gagal meraih emas sejak sukan ini mula diperkenalkan pada tahun 1965 sementara negara lain hanya boleh memikirkan pingat perak atau gangsa sebagai sasaran.

Jalan cerita sama mungkin akan berlaku di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas melihat kekuatan Singapura yang mudah membelasah Thailand 13-2 dalam aksi sulung mereka.

Pasukan lelaki negara walaupun gagal jinakkan Indonesia 3-4 pada perlawanan pertama, mereka berjaya bangkit pada aksi seterusnya yang menjadi keputusan penting untuk menamatkan badi tanpa pingat selepas tempoh 12 tahun.

Mereka diramalkan mampu menundukkan Thailand pada perlawanan ketiga, 18 Ogos ini sekaligus memastikan pingat gangsa sudah mampu berada dalam tangan pasukan negara.

Jika dilihat pada rata-rata purata umur pemain seperti Toh Yi Xiang yang baharu berusia 15 tahun, pasukan ini berpotensi jika diberi lebih banyak pendedahan selepas berakhir Sukan SEA tanpa mengambil kira apa akan terjadi kepada skuad ini.

Hanya beberapa kelemahan seperti aspek fizikal dan kepantasan berenang perlu dipertingkatkan untuk menghadapi lawan yang berpengalaman seperti Singapura.

Begitu juga pasukan wanita walaupun tewas teruk 22-2 kepada Thailand, mereka tidak perlu diketepikan kerana jika mendapat pengalaman berlatih atau ambil kejohanan di luar negara, tidak mustahil sukan polo air mampu jadi acara utama di negara ini.

Cuma yang menjadi kebimbangan penulis adalah perkembangan atlet polo air negara akan terbantut sebaik berakhir Sukan SEA 2017 ketika kebanyakan pasukan persatuan sukan semakin sukar mendapatkan penajaan dan mengharapkan dana daripada Majlis Sukan Negara(MSN) sahaja.

Adakah hanya warna pingat akan jadi kayu ukur sebenar buat pihak tertentu melihat kemajuan sukan tertentu tanpa melihat skop yang lebih menyeluruh?

Buat penulis, beri ruang seadilnya kepada sukan polo air untuk menimba ilmu yang lebih mendalam termasuk mendapatkan jurulatih berpengalaman terutama dari kuasa besar Eropah dan kita mungkin boleh melihat hasilnya selepas beberapa edisi Sukan SEA.

Advertisement

Must Watch Video