Skip to main content

Rencana

Apa guna main cantik tapi kalah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

manchetser-united.jpg
Aksi timbal balik saingan Piala Liga Inggeris (EFL) yang membabitkan pertemuan dua seteru, Manchester City dan Manchester United. menyaksikan kemenangan berpihak kepada The Red Devils dengan keputusan satu kosong. 

PAda saat ramai menjangkakan kedua-dua pasukan akan menurunkan pemain-pemain simpanan dan pemain muda, namun jangkaan itu meleset apabila City menurunkan pemain utama mereka, begitu juga United biarpun dibelenggu masalah kecederaan.

Biarpun secara agregat Manchester City layak dengan keputusan 3-2, namun kekalahan di Stadium Etihad dilihat memberi kesan kepada moral pasukan kendalian Pep Guardiola itu. 

Masakan tidak, dengan 68 peratus penguasaan bola, lapan kali sepakan penjuru dan begitu banyak peluang di hadapan gawang, gandingan Aguero-Sterling-Mahrez gagal menembusi gawang yang dikawal David De Gea sepanjang 90 minit permainan. 

Kemasukan Gabriel Jesus pada lewat permainan juga tidak berjaya membantu pasukan The Citizen untuk mendapatkan jaringan penyamaan, tambahan pula United bermain 10 pemain apabila Nemanja Matic dilayangkan kad merah dalam separuh masa kedua.

Selain Pep Guardiola yang melahirkan rasa kecewa dengan persembahan pasukannya, seorang pemain tonggak, Kevin De Bruyne, juga meluahkan rasa hampa apabila mengkritik jentera serangan pasukannya yang tidak beraksi dengan baik. 

Menurut Bruyne, United langsung tidak mampu melakukan gerakan-gerakan serangan yang baik, namun satu peluang yang mereka peroleh digunakan sebaiknya untuk diterjemahkan dengan jaringan.

Bagi Ole Gunnar Solskjaer (OGS) pula, kemenangan ini amat penting bagi mengembalikan keyakinan pasukannya dalam mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris. 

United akan menerima kunjungan Wolves di Old Trafford pada Ahad ini. Menang merupakan satu misi wajib buat United andai tidak mahu terus ketinggalan dan kekal di pertengahan liga selepas beberapa keputusan negatif dalam perlawanan terdahulu.

Dalam pada itu, United menerima satu khabar gembira apabila berjaya membeli pemain tengah antarabangsa Portugal, Bruno Fernandes. 

Bukan lagi satu rahsia bahawa ketua pasukan Sporting Lisbon itu merupakan sasaran utama sejak permulaan musim, namun kegagalan pihak pengurusan berurusan menyaksikan perpindahan ini hanya terjadi dalam jendela perpindahan Januari. 

Sama ada Bruno akan diturunkan dalam aksi bertemu Wolves belum dapat dipastikan tetapi Dayang optimis kemasukan Bruno sekurang-kurangnya akan memberikan lebih pilihan kepada OGS selepas kehilangan Paul Pogba dan Scott McTominay yang tercedera.

Advertisement

Must Watch Video