SYABAS kepada empat tokoh yang tercalon untuk kerusi panas selaku presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Aseh Che Mat menerima pencalonan untuk jawatan itu namun soal sama ada mereka mahu menyambut seruan berkenaan atau tidak hanya terjawab dalam tempoh terdekat.
Apabila ditemu bual oleh Zulhelmi Zainal Azam dari Nadi Arena tadi, penulis menyifatkan Tunku Ismail sebagai calon hangat untuk jawatan itu.
Ini disusuli oleh Khairy, Annuar dan Aseh, mengikut ranking.
Pencapaian TMJ selaku tokoh yang merevolusi bola sepak Johor tidak dapat disangkal.
Dengan demikian, ketokohannya ditagih untuk diterjemahkan ke peringkat kebangsaan.
Sekalipun Khairy layak untuk kerusi itu juga berasaskan pengalaman selaku presiden MyTEAM, timbalan presiden FAM serta pernah menjadi pengurus pasukan kebangsaan, beliau adalah anggota Jemaah Menteri, Menteri Belia dan Sukan, ahli parlimen Rembau dan orang besar yang dipertanggungjawab menerajui Transformasi Nasional 50 (TN50).
Bola sepak dan FAM adalah komponen kecil dalam TN50 yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
Maka adalah lebih wajar Khairy memberi sepenuh tumpuan dan segenap tenaga memikul tugas yang jauh lebih berat, iaitu menggalas aspirasi rakyat secara umum, daripada memijak permaidani merah di Zurich atau berswafoto dengan Marco van Basten dan presiden FIFA.
Annuar adalah bapa pembangunan bola sepak Kelantan – mengeluarkan pasukan itu dari kelesuan di Liga Perdana lalu tampil sebagai jenama segar The Red Warriors tetapi diheret ke polemik berpusar sekitar isu integriti selaku Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan juga Ahli Parlimen Ketereh serta Ketua Penerangan parti pemerintah.
Aseh disegani sebagai bekas penjawat awam yang hampir-hampir menjadi Ketua Setiausaha Negara, ada pengalaman selaku pengerusi jawatankuasa integriti FAM dan banyak mempromosi Putrajaya menerusi pelbagai acara tempatan dan antarabangsa tetapi selepas TMJ secara umum menyatakan sokongan terhadap Aseh, setiap tindak-tanduk beliau dikhuatiri dibayangi TMJ dan berdepan risiko dianggap boneka.
Pada saat ini, yang penulis nantikan adalah manifesto calon dalam mengubah nasib bola sepak tempatan, bermula dengan urus setia yang sering dikecam dan dilempar pelbagai tuduhan.
Sejarah menunjukkan bola sepak negara pernah diterajui Tunku Abdul Rahman Sultan Abdul Hamid – tokoh politik dan kerabat diraja, Tun Razak Hussein, ahli politik, pemimpin masyarakat serta Tan Sri Hamzah Abu Samah yang juga anggota Jemaah Menteri.
Sejarah juga merakamkan bahawa dua presiden terakhir FAM adalah anggota kerabat diraja – Sultan Ahmad Shah dan anakanda beliau, Tengku Abdullah.
Jadi pencalonan empat individu dengan latar belakang berbeza menimbulkan beberapa persoalan menarik.
Apakah perancangan calon dalam mengubah persepsi negatif terhadap FAM?
Apakah visi dan misi untuk tempoh empat tahun akan datang?
Bagaimana mendepani isu liputan di televisyen yang tidak komprehensif?
Apakah Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) boleh terus hidup di bawah cengkaman FAM atau diberi hak mengurus liga bersama 24 pasukan peserta?
Bersiap sedia untuk dua bulan akan datang yang penuh drama!