Skip to main content

Rencana

Antara Bale, Kepa, Henderson (bhg 1)

cover.jpeg
Peminat bola sepak Inggeris semestinya maklum dengan insiden melibatkan penjaga gol termahal dunia, Kepa Arrizabalaga, yang bertegang urat dengan pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, ketika aksi final Piala Liga di Wembley semalam. 

Tindakan Kepa menolak arahan Sarri yang mahu menggantikannya dengan Willy Caballero sebelum bermulanya penentuan sepakan penalti menjadi bualan hangat sehingga menenggelamkan topik mengenai aksi Liga Perdana Inggeris sebelum itu di antara Manchester United dan Liverpool yang berakhir 0-0.



Sedar atau tidak, sebenarnya di Old Trafford terlebih dahulu menyaksikan pertelingkahan di antara pengurus dan pemain setelah pengendali The Reds, Jurgen Klopp, berang dengan kapten pasukan, Jordan Henderson.

Di Sepanyol, skrip berbeza berlaku di Estadio Ciudad de Valencia dalam perlawanan yang menyaksikan Gareth Bale menyumbat gol kemenangan ketika Real Madrid mengatasi Levante 2-1. Namun, insiden yang terjadi selepas itu menarik perhatian.

Bagaimanapun, isu Kepa dan Sarri paling mencuri tumpuan.



Kepa mengalami kekejangan otot pada minit ke-118, membuatkan Sarri meminta Caballero untuk bersedia menggantikan penjaga gol utama itu tatkala permainan berbaki dua minit menuju penentuan sepakan penalti tetapi Kepa memberi isyarat mahu meneruskan permainan kepada Sarri dan pembantunya, Gianfranco Zola.

Kepa tampak marah, menunjukkan isyarat tangan tidak mahu digantikan sehingga membuatkan Zola dan Sarri sendiri keliru sambil penyokong Chelsea di Wembley mula mencemuh kapten, Cesar Azpilicueta, yang gagal memainkan peranan dalam situasi tersebut.

Setelah pertahanan Chelsea, David Luiz, campur tangan, pengadil perlawanan, Jon Moss, memberi isyarat bahawa tiada pertukaran akan dilakukan sehingga membuatkan Sarri hilang sabar, menghempas nota ke bangku simpanan dan berlalu menuju bilik persalinan sebelum berpatah balik untuk duduk bersama staf pasukan.



Sebelum aksi penalti, Kepa sempat menggenyit mata ke arah kamera sebelum dia meninggalkan Sarri yang cuba meminta penjelasannya sambil rakan sepasukan, Antonio Rudiger, meredakan keadaan.

Penyudahnya? Dalam keadaan tidak sepenuhnya cergas memandangkan sudah mengalami kekejangan otot sebelum itu, Kepa gagal membantu The Blues menjulang Piala Liga apabila mereka tewas 4-3 dalam penentuan sepakan penalti itu.

Selepas perlawanan, Sarri mendakwa apa yang berlaku adalah atas sebab salah faham. Namun, adakah ia satu kebenaran atau jawatan pengurus dalam kem Chelsea lebih kecil berbanding seorang pemain?



Buat seorang pemain yang baru bertapak bersama kelab besar, Kepa mungkin sudah melakukan kesilapan dan walaupun dia penjaga gol termahal dunia, statistik perbandingannya dan Caballero mungkin membuatkan keputusan berbeza jika arahan Sarri dipatuhi.

Advertisement

Must Watch Video