Skip to main content

Rencana

Angin perubahan di Piala Thomas

lukman-salleh.jpg

Salam dari Kunshan.

Kejohanan Piala Thomas / Uber 2106 sudah bermula dan setiap negara bertanding memulakan misi masing-masing. Bagi negara besar seperti China, Indonesia, Malaysia, Denmark dan Korea Selatan sudah pasti mahu mara ke final. Bagi negara kecil seperti Mexico, Mauritius serta Amerika Syarikat beraksi di kejohanan ini sudah cukup mengujakan.

Seperti dalam artikel pertama saya tempoh hari, saya menyatakan ini adalah kali ketujuh saya membuat liputan Piala Thomas dan sudah banyak kenangan pahit manis saya tempohi sepanjang lebih 16 tahun membuat liputan kejohanan ini.

Ketika Malaysia menjulang Piala Thomas pada 1992, di Kuala Lumpur, saya berkhidmat dengan salah sebuah stesen televisyen swasta dan saya berkesempatan menyaksikan perlawanan antara Malaysia dengan Denmark yang dimenangi Malaysia dalam langkahan menjulang kejuaraan.

Liputan Piala Thomas pertama saya ialah 2002 di Guangzhou dengan barisan diterajui Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock, Hafiz dan Roslin Hashim serta Lee Tsuen Seng serta gandingan Choong Tan Fook / Lee Wah Wah dan Chan Chong Ming - Chew Choon Eng, serta jurulatih mendiang Indra Gunawan dan Park Joo Bong.

Malaysia mara ke final namun tewas kepada Indonesia. Malang buat Malaysia. Selepas itu kejohanan demi kejohanan Piala Thomas berlalu dan wajah-wajah pemain sudah berubah.  Ada yang kekal hingga sekarang dan ada juga wajah-wajah baru -  hanya trofi Piala Thomas saja tidak berubah. Sama seperti sejak kali pertama dipertandingkan.

Apa yang menariknya pertandingan kali ini ialah tiada negara yang benar-benar mendominasi. Jika dulu hanya China dan Indonesia dan kadangkala Malaysia akan bersaing dalam final tetapi kini negara lain sudah mula mengetuk pintu untuk masuk dalam kelab elit juara Piala Thomas.

Jepun, yang diterajui jurulatih Park Joo Bong sudah membuktikannya dua tahun lalu di New Delhi dengan mengejutkan China di separuh akhir sebelum menumbangkan Malaysia di perlawanan akhir untuk menjadi hanya negara keempat memenangi Piala Thomas selain China, Indonesia dan Malaysia. Maka tidak mustahil di Kunshan ini kita akan mendapat juara baru samada gergasi Eropah, Denmark ataupun Korea Selatan.

Tidak mustahil ia akan terlaksana kerana Jepun adalah contoh terbaik yang membuktikan bahawa setinggi mana gunung ia masih dapat ditawan dan seluas mana lautan pun masih mampu diseberangi.

Tetapi jauh disudut hati saya masih mengharapkan Malaysia akan menang!

Advertisement

Must Watch Video