Skip to main content

Rencana

Angan-angan Rachel di Filipina

rachel-arnold.jpg
Pernah membawa pulang pingat emas Sukan SEA ke Kuala Lumpur pada 2015 tetapi gagal mengekalkannya di laman sendiri, dua tahun kemudian selepas tewas di tangan rakan senegara pastinya sesuatu yang pahit untuk ditelan.

Namun, itulah situasi yang dilalui pemain skuasy wanita kebangsaan, Rachel Arnold, selepas tunduk di tangan S. Sivasangari di pentas final Sukan SEA ke-29, dua tahun lalu.

Benar kata sesetengah orang, mendapatkan kejayaan lebih mudah berbanding mempertahankannya.

Kini, Rachel sudah pasti menyimpan hajat untuk memastikan gelaran juara Asia Tenggara kembali menjadi miliknya, lebih-lebih lagi setelah namanya bakal mengetuai senarai atlet skuasy wanita di Filipina kelak yang terdiri daripada Chan Yiwen, Lai Wen Li serta atlet kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, Ooi Kah Yan.

Hasrat itu semakin jelas untuk dicapai susulan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengumumkan bintang utama, Sivasangari, tidak akan turut serta ke Filipina selepas kata sepakat dicapai dengan negara Asia Tenggara yang lain untuk tidak menyenaraikan pemenang perak Sukan Asia 2018 itu atas tujuan mempromosikan sukan skuasy.

Jika dia mempamerkan aksi konsisten sepanjang Sukan SEA, atlet berusia 23 tahun itu dijangka sekali lagi berdepan rakan senegaranya di pentas akhir sekiranya rayuan SRAM agar Yiwen diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan diterima pihak penganjur.

Sama ada rayuan itu diterima atau tidak, Rachel pastinya tidak mahu menoleh ke belakang memikirkan situasi itu, sebaliknya terus fokus bagi memastikan emas Sukan SEA kembali menjadi miliknya.

Malah, anak jati Kuala Lumpur itu juga sudah tentu mahu menamatkan musim 2019 dengan cemerlang susulan kejayaan muncul juara Terbuka Malaysia buat kali pertama yang dilakar September lalu selepas membenam cabaran atlet senior, Low Wee Wern.

Kemarau status juara selama sembilan tahun yang dinantikan untuk melihat wakil tempatan menjuarai Terbuka Malaysia telah ditamatkan Rachel dan kini, adik kepada bekas pemain kebangsaan, Delia Arnold, itu yakin dia dalam momentum terbaik untuk menambah koleksi emas perseorangan wanita Sukan SEA buat dirinya.

Advertisement

Must Watch Video