Skip to main content

Rencana

Amerika Syarikat pilihan hati Jinq En

800x450_phee-jinq-en_1.jpg
Empat tahun lalu, perenang negara Phee Jinq En berkelana ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian sekali gus mendapat sentuhan jurulatihnya di sana, John Klinge.

Jinq En yang bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi membuat keputusan untuk terus berada di sana memandangkan temasya Olimpik Tokyo ditunda ke tahun 2021.

Apa perbezaan menjalani latihan di Amerika Syarikat berbanding di Malaysia? Sehinggakan Jinq En sanggup keluarkan modal sendiri, sekurang-kurangnya 40 ribu ringgit bagi tempoh setahun, jika tiada pihak yang sanggup menajanya.

Dia perlu mula membayar sendiri program latihan di sana apabila visa pelajarnya tamat selepas graduasi.

Perenang berusia 22 tahun itu bagaimanapun tidak memperlekehkan kemampuan menjalani program latihan kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) di Malaysia namun sudah selesa dengan suasana dan individu-individu yang telah bersamanya sejak empat tahun lalu.

“Saya sudah serasi dengan program latihan di sini. Terdapat hampir 30 pelatih bersama-sama saya dan kami mempunyai matlamat yang sama".

“Saya juga tidak pasti dengan kaedah latihan jurulatih kebangsaan, Chris Martin (di Kuala Lumpur) tetapi program latihan di sini sudah terbukti selepas saya berjaya meraih dua pingat emas dalam dua edisi di temasya Sukan SEA”.

Menurutnya, buat masa ini dia masih menghadapi kekangan untuk menjalani latihan di kawasannya kerana masih di bawah perintah kawalan pergerakan dan mengharapkan keadaan kembali reda dalam masa terdekat.

Pada masa yang sama, situasinya turut mendapat perhatian Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM). Menerusi Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chan, badan induk itu sedang mengusahakan sesuatu buat jaguh kuak dada wanita itu memandangkan dia di bawah Program Road to Tokyo (RTT).

Advertisement

Must Watch Video