RENCANA
AMANAT BEKAS BOS
BARU-BARU bahagian atlet Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengurus program Kita Juara sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2017, mempelawa bekas ketua pengarah agensi itu, Datuk Wira Mazlan Ahmad, untuk berkongsi pengalamannya.
Secara santai Mazlan membawa gambar lama yang berbingkai, menunjukkan beliau memimpin kontinjen negara ketika perarakan rasmi upacara pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.
Temasya itu berkesudahan dengan Malaysia muncul juara keseluruhan dengan mengutip 111 emas. Satu sejarah yang bukan mudah diraih.
Iklan
Mazlan adalah antara tenaga pemikir penting di sebalik tabir yang merancang pembangunan sukan dari awal 90-an hingga pertengahan 2000-an.
Selain berpengalaman menjadi naib presiden Persekutuan Kebangsaan Lumba Basikal Malaysia (PKLBM) yang kini bergelar PKBM, Mazlan menerajui MSN selama lebih 12 tahun, ketua pengarah paling lama berkhidmat di agensi itu.
Atas dasar itu, Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, menjemput Mazlan berkongsi pengalaman dan resipi kejayaan dalam menguruskan pemegang kepentingan seperti persatuan kebangsaan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Mazlan memulakan ucapannya dengan bercerita mengenai terapi wicara yang terpaksa diharungi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2000.
"Begitulah sebahagian cabaran bekerja untuk MSN,” katanya.
"Namun anda kurang bernasib baik. Kejayaan 2001 adalah penanda aras yang tinggi!,” kata Mazlan.
"Tentunya kejayaan 2001 disebabkan tempias daripada program Jaya’98 yang membawa kejayaan besar untuk kontinjen negara. Dalam mesyuarat Majlis Sukan Komanwel yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, waktu itu, arahan beliau mudah – rancang pencapaian terbaik kontinjen negara.
"Dalam masa lima tahun, MSN memikirkan cara terbaik untuk merangka program yang boleh membantu kontinjen negara memenangi pingat selain daripada badminton dan angkat berat di peringkat Komanwel. Akhirnya kita berjaya memenangi pingat daripada menembak, bowling, olahraga, gimnastik berirama dan tinju, selain badminton dan angkat berat.
"Dalam proses itu, MSN mencipta proses baharu, misalnya Jawatankuasa Bersama dipengerusikan bersama oleh MSN dan pemimpin tertinggi persatuan untuk membincangkan semua aspek latihan, termasuk pelantikan jurulatih asing dan program latihan luar negara.
"Formulanya dengan cara bermusyawarah dan pertanggungjawaban secara kolektif. Saya sedar jika saya gagal, saya kena pancung. Saya fikir apa kerja lain yang boleh saya buat untuk sara keluarga saya.”
Tempoh 45 minit yang diberikan kepada Mazlan begitu pantas berlalu, terutama apabila sidang penonton – rata-rata pengurus projek dan pegawai bahagian yang tidak terbabit pada 1998 dan 2001, diberi peluang mengemukakan soalan.
Antara soalan yang dilontarkan – bagaimana menolak permohonan geran persatuan dan kaedah terbaik bekerjasama dengan agensi lain dalam memastikan program menjadi realiti.
"Bagi persiapan 1998, MSN bekerjasama rapat dengan Pendaftar Pertubuhan untuk mengeluarkan peringatan kepada persatuan sukan agar mematuhi peraturan dan undang-undang serta menjalankan mesyuarat agung untuk mengelak daripada dikenakan penggantungan. Jika digantung, habislah perancangan kita.
"MSN juga menjalin kerjasama rapat dengan pemimpin tertinggi Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan program seperti memberi taraf kerakyatan kepada atlet luar dan menggalakkan unit berseragam aktif dalam sukan menembak ISSF,” katanya.
Selaku peneraju MSN, Mazlan harus bijak bersilat dengan pemimpin persatuan sukan selain menasihati Menteri Belia dan Sukan dari semua aspek.
Mazlan menasihati pegawai dan pengurus projek belajar mengenai sukan yang mereka urus.
"Saya tidak pernah menonton Kejohanan Badminton Seluruh England sepanjang saya menjadi Ketua Pengarah. Jangan pergi luar negara jika anda tidak mengikuti perkembangan atlet dalam pertandingan tempatan.”
Mazlan turut menasihati MSN untuk memastikan publisiti mengenai program dan atlet Kita Juara lebih meluas.
"Sekarang kita baca persatuan dan KBS serta MOM bincang mengenai acara yang digugurkan tetapi apa cerita atlet?".
Must-Watch Video