Skip to main content

Rencana

Air mata buat Piala Thomas

thomas-cup.jpg

Tanya sahaja mana-mana rakyat Malaysia pasti kejayaan skuad 1992 menjulang piala keramat ini di Stadium Negara menjadi memori paling manis apabila berbicara soal Piala Thomas.

Sebaliknya buat saya, edisi 2002 paling lekat menjadi pertalian awal membentuk kemahuan saya yang  untuk satu hari berkhidmat buat sukan tanah air.

2002 merupakan kemuncak era generasi emas badminton Indonesia yang menyaksikan Piala Thomas kekal milik mereka sejak tahun 1994.

Final di Guangzhou, China menyaksikan saya terpaku di depan kaca televisyen menyaksikan liputan siaran langsung pertembungan Indonesia-Malaysia.

Mengujakan, walaupun saya hanya mampu membayangkan betapa istimewa suasana jika berada di stadium menyaksikan pertemuan perebutan buat piala berprestij ini.

Menyaksikan final pertemuan itu ibarat satu pergolakan emosi, ghairah dengan kemenangan perseorangan Wong Choong Hann serta kejutan Lee Tsuen Seng ke atas Taufik Hidayat.

Tetapi gusar saat kegagalan beregu termasuk pasangan senior Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook ketika mencuri mata yang mampu menamatkan penantian bergelar juara.

Pertemuan terakhir antara Hendrawan dan Roslin Hashim sangat memberi kesan buat buat seluruh rakyat Malaysia apatah lagi seorang remaja belasan tahun ini

Dalam tak sedar air mata mula mengalir, waktu jaguh Indonesia itu mengesahkan kejuaraan Piala Thomas buat negaranya, sukar untuk saya membendung kekecewaan dan kesedihan ketika itu.

Satu penghormatan untuk saya membawakan liputan Piala Thomas edisi 2016 di samping Penerbit Nadi Arena, Lukman Salleh yang sudah melalui tujuh kempen dengan dua penampilan Malaysia di final temasuk edisi 2002 itu.

Ini merupakan pengalaman pertama saya sejak bergelar seorang wartawan sukan, bayangkan jika Malaysia sekali lagi ke final, bayangkan jika Malaysia akhirnya menamatkan kemarau sejak 1992, waktu itu saya tidak kisah jika air mata sekali lagi mengalir buat Piala Thomas.

 

Advertisement

Must Watch Video