RENCANA
Adam bintang masa depan Selangor
Mungkin nama Adam Nor Azlin tidak sepopular pemain muda lain seperti Nazmi Faiz Mansor yang sering menggemparkan arena bola sepak negara, namun bekas pemain Harimau Muda ini mencuri perhatian ramai ketika membantu Selangor kembali ke kedudukan ketiga Liga Super Rabu lalu. Jaringan Adam yang masuk selaku pemain gantian di babak kedua menyaksikan skuad merah kuning mampu meraih 3 mata penuh sulung mereka di Stadium Shah Alam musim ini, dengan tundukkan T-Team 2-1.
Namun ia bukanlah momen indah pertama buat Adam kerana pernah mendapat kepercayaan Datuk Ong Kim Swee untuk membarisi pasukan kebangsaan sebelum ini. Khabarnya, kebolehan Adam yang mampu bermain di pelbagai posisi sering menarik minat Kim Swee sejak dia berusia 16 tahun lagi.
Zainal Abidin Hassan bagaimanapun lebih berminat untuk meletakkan pemain berusia 20 tahun ini di bahagian serangan The Red Giants sejak dia kembali ke pangkuan pasukan negeri kelahirannya itu tahun ini.
Iklan
Adam juga mengintai posisi penyerang utama pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim depan, namun buat masa ini, sumbangan Adam dituntut sebagai senjata yang mampu memberi kejutan yang tidak disangka kepada pihak lawan, seperti yang dilakukannya di hadapan 10, 000 penyokong setia Selangor yang hadir.
Apa yang pasti, saingan Liga Super yang telah berlangsung untuk 10 perlawanan masih terlalu awal untuk diramal sama ada akan terus memihak Felda United mahupun Johor Darul Takzim. Walaupun prestasi Selangor musim ini masih diragui ramai pihak, semangat anak muda seperti Adam tidak harus dipandang enteng dalam membawa Selangor memburu kejuaraan ke-8 Liga Super.
Selamat berjaya buat Adam Nor Azlin.
Must-Watch Video